Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Saham di Bursa Malaysia pulih daripada kerugian semalam untuk ditutup tinggi pada Selasa, dipacu minat belian dalam kaunter penjagaan kesihatan, utiliti dan perbankan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.46 mata atau 0.15 peratus kepada 1,690.36 berbanding paras 1,687.90 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 6.39 mata lebih kukuh pada 1,694.29 dan bergerak antara 1,688.98 hingga 1,695.77 sepanjang dagangan.
Sentimen pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 547 berbanding 510. Sebanyak 550 kaunter tidak berubah, 1,060 tidak diniagakan dan 60 digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.64 bilion unit bernilai RM3.96 bilion berbanding 3.98 bilion unit bernilai RM4.85 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beliau mengekalkan pendekatan berhati-hati terhadap pasaran tempatan dalam jangka pendek meskipun ditutup tinggi hari ini, dengan menjangkakan ketidaktentuan pasaran global kekal tinggi.
“Kami menjangka pelabur akan kekal bertahan dan selektif, dengan memberi tumpuan kepada sektor berkaitan komoditi dan sektor berdaya tahan sebagai lindung nilai terhadap risiko luaran.
“Dengan ketiadaan pemangkin positif yang jelas, FBM KLCI berkemungkinan bergerak dalam mod mendatar, dengan pergerakan jangka pendek dipengaruhi perkembangan ketegangan geopolitik dan trend harga minyak mentah. Sehubungan itu, kami menjangka indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,710 bagi baki minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dari sudut makroekonomi, pasaran kini berdepan gabungan kos tenaga tinggi dan sentimen teknologi lemah, yang biasanya menyebabkan pelabur menjadi lebih berhati-hati di pasaran sedang pesat membangun.
“Melainkan harga minyak stabil dan ketegangan geopolitik reda, sebarang kenaikan jangka pendek dalam ekuiti serantau dijangka kekal terhad, bersifat taktikal dan lebih dipacu pelarasan kedudukan berbanding peningkatan asas yang kukuh,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM11.36, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.68, Tenaga Nasional susut 26 sen kepada RM13.90, CIMB menambah tujuh sen kepada RM7.55 dan IHH Healthcare meningkat lapan sen kepada RM8.98.
Bagi kaunter paling aktif, Top Glove naik enam sen kepada 69 sen, Sunway Healthcare susut sembilan sen kepada RM2.00, Zetrix AI merosot 1.5 sen kepada 74 sen dan Bumi Armada meningkat 1.5 sen kepada 34.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 46 sen kepada RM28.78, United Plantations naik 40 sen kepada RM34.00, PPB menambah 34 sen kepada RM12.00 dan Hong Leong Industries melonjak 24 sen kepada RM16.74.
Bagi kaunter paling rugi, Sunway Construction susut 48 sen kepada RM6.37, Sunway Bhd merosot 40 sen kepada RM4.80, Petronas Dagangan turun 32 sen kepada RM21.84 dan Petronas Gas berkurangan 26 sen kepada RM17.96.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 21.73 mata kepada 12,174.91, Indeks FBM Emas naik 25.64 mata kepada 12,304.38, Indeks FBM 70 menambah 47.44 mata kepada 16,864.69, Indeks FBM Emas Syariah susut 35.04 mata kepada 12,117.21, manakala Indeks FBM ACE meningkat 2.12 mata kepada 4,246.91.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 174.88 mata kepada 20,023.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.27 mata kepada 182.90, Indeks Tenaga merosot 10.50 mata kepada 797.54 dan Indeks Perladangan turun 32.31 mata kepada 8,984.23.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.16 bilion unit bernilai RM3.70 bilion berbanding 2.54 bilion unit bernilai RM4.59 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.22 bilion unit bernilai RM162.61 juta daripada 1.13 bilion unit bernilai RM148.35 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 262.23 juta unit bernilai RM99.35 juta berbanding 301.21 juta unit bernilai RM109.89 juta semalam.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang 206.82 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (355.05 juta), pembinaan (192.10 juta), teknologi (209.44 juta), perkhidmatan kewangan (135.56 juta), hartanah (149.76 juta), perladangan (71.91 juta), amanah pelaburan hartanah (24.93 juta), dana tertutup (83,200), tenaga (241.82 juta), penjagaan kesihatan (425.80 juta), telekomunikasi dan media (48.73 juta), pengangkutan dan logistik (40.52 juta), utiliti (61.11 juta) serta amanah perniagaan (119,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial