POLITIK > BERITA

KEPUTUSAN PEMILIHAN PUSAT PKR DIKETAHUI PETANG SABTU - FUZIAH

20/05/2025 08:30 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mei (Bernama) -- Keputusan pemilihan bagi kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diketahui seawal-awalnya 2.30 petang, Sabtu ini (24 Mei).

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata sebelum itu, pengundian bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita bagi sesi 2025-2028 akan diadakan pada Jumaat ini (23 Mei), bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata proses pengundian itu akan melibatkan lebih 30,000 perwakilan.

“Daripada jumlah itu, ia melibatkan lebih 9,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal manakala selebihnya akan mengundi secara dalam talian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Fuziah, pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di sini.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching sementara perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat serta Wanita Pusat tidak perlu hadir secara fizikal kerana pengundian dilakukan secara dalam talian pada tarikh dan masa yang sama menerusi aplikasi ADIL.

Menyentuh mengenai calon, Fuziah berkata tiada sebarang bantahan diterima daripada calon-calon bertanding selepas selesai sesi pencalonan yang berlangsung dua hari bermula 8 Mei lepas, manakala proses bantahan pencalonan dibuka selama dua hari sehingga 11.59 malam, 12 Mei.

Pada 10 Mei lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Proses pencalonan pemilihan parti menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan presiden manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.

Bagi jawatan Naib Presiden pula,12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan