POLITIK > BERITA

JELAJAH "KITA KEADILAN" PLATFORM UNTUK PENYATUAN, PERKUKUH PKR - FUZIAH

20/05/2025 07:16 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mei (Bernama) -- Siri Jelajah “Kita KEADILAN” yang berakhir pada Ahad di Sarawak, berfungsi sebagai platform untuk menyatupadukan dan mengukuh Parti Keadilan Rakyat (PKR), serta memperkenalkan calon kepada perwakilan.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh yang juga pengasas program tersebut berkata inisiatif itu menerima sambutan positif, dengan majoriti ahli menyifatkannya sebagai cerminan politik matang.

“Siri jelajah ini, proses penyatuan semula (selepas pemilihan di peringkat Cabang). Jadi saya mulakan (inisiatif) ini dengan menawarkan satu platform neutral. Bila kita habiskan jelajah ini, kita lihat bahawa mood itu memang ramai (ahli parti) yang puji dan mereka kata ini yang mereka mahukan. Inilah politik matang yang kita ingin tengok.

“Jadi menerusi siri jelajah tersebut kita sediakan platform neutral supaya semua (calon-calon pemilihan) boleh jumpa dan membuat rangkaian tanpa ‘cai’, tanpa bersekutu dengan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelajah “Kita KeADILAN”, dilaksanakan mengikut zon dengan zon selatan (Johor dan Melaka) menjadi zon pertama iaitu pada 13 Mei, diikuti zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara) pada 15 Mei, zon tengah (Perak Selatan, Selangor, Wilayah dan Negeri Sembilan) pada 16 Mei dan zon sabah (Sabah dan Labuan) pada 17 Mei.

Fuziah berkata menerusi jelajah itu, calon bertanding juga boleh membentangkan idealisme serta manifesto masing-masing kepada perwakilan.

“Setiap orang mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada parti dan perwakilan seharusnya sudah cukup bijak untuk memilih mana yang terbaik di antara yang terbaik,” katanya.

Pada 10 Mei, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata 251 calon telah menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028, merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan