POLITIK > BERITA

RINA TIDAK DICALONKAN BERTANDING PADA PRN SABAH, KEAHLIAN DALAM HARAPAN RAKYAT DIGANTUNG

13/11/2025 04:49 PM

TAWAU, 13 Nov (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan Datuk Rina Jainal tidak dicalonkan oleh Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 selepas keahliannya dalam parti itu digantung selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Agung Harapan Rakyat Christy Chok berkata penggantungan itu juga melibatkan jawatan Rina selaku Timbalan Presiden selepas beliau didapati melanggar disiplin parti serta gagal mempromosikan nama parti dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan dan gerak kerja Harapan Rakyat di Kukusan.

"Keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi menerima syor Jawatankuasa Disiplin parti berhubung hasil siasatan yang dijalankan sebelum ini," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Harapan Rakyat adalah sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah.

Sementara itu, Rina dalam kenyataan hari ini menyifatkan tindakan menggantung keahliannya menjelang penamaan calon Sabtu ini sebagai mencurigakan dan cubaan sabotaj bagi menghalang beliau daripada bertanding mewakili Harapan Rakyat pada PRN Sabah ke-17.

"Tindakan ini amat pelik dan dilihat seperti ada niat tertentu untuk menyekat saya daripada bertanding… isu dalaman sepatutnya boleh dibincangkan secara baik dalam semangat kekeluargaan parti.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja mengecewakan, malah saya melihatnya sebagai satu langkah licik untuk menyingkirkan saya menjelang pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun, Rina berkata beliau menghormati keputusan parti tetapi berhak mempertahankan diri dan akan menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

"Perjuangan saya tidak berakhir di sini, saya  komited memperjuangkan nasib rakyat Kukusan walaupun berdepan cabaran politik yang tidak dijangka," katanya sambil menambah beliau akan menilai langkah seterusnya selepas berbincang dengan penyokong serta keluarga terdekat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan pada 15 Nov serta tarikh pengundian awal 25 Nov.

Pada PRN Sabah ke-16, Rina yang mewakili Parti Warisan Sabah memenangi kerusi DUN Kukusan selepas menewaskan pesaing terdekatnya, Chaya Sulaiman daripada Barisan Nasional (BN) dengan hanya majoriti 10 undi.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan