POLITIK > BERITA

PENGALAMAN HIDUP SUSAH PEMBAKAR OBOR PERJUANGAN THONNY CHEE BANGUNKAN API-API

22/11/2025 07:03 PM

Oleh Syed Iylia Hariz

KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Membesar dalam keluarga serba kekurangan menjadi pendorong utama perjuangan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee yang bertekad memperjuangkan suara rakyat dan membawa perubahan.

Sebagai anak sulung daripada lapan adik-beradik, menurut Thonny, 45, beliau membesar dalam lingkungan keluarga daif iaitu ayahnya bekerja sebagai buruh kayu balak manakala ibunya hanyalah seorang suri rumah serta petani. 

Thonny berkata kehidupan yang serba mencabar sejak kecil mendorongnya memikul tanggungjawab membantu keluarga sekali gus membentuk tekad yang kukuh untuk membebaskan diri daripada kemiskinan melalui pendidikan.

Beliau berkata pengalaman hidup sedemikian menjadikannya lebih memahami realiti masyarakat yang berdepan tekanan kos sara hidup, kekangan pendidikan dan peluang pekerjaan, seterusnya menguatkan azamnya untuk menceburi dunia politik demi menggubal dasar yang lebih mesra rakyat.

“Daripada dulu kalau ditanya soal politik memang bukan dalam DNA saya. Cuma saya terpanggil menjadi sebahagian daripada orang politik kerana hanya sebagai orang politik sahaja kita boleh menggubal polisi-polisi yang mesra dengan rakyat,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Mewakili PH untuk mempertahankan legasi lima penggal kerusi Api-Api yang sebelum ini disandang Datuk Seri Christina Liew, Thonny mengakui rasa tanggungjawab yang dipikulnya amat besar, namun percaya pengundi masih serasi dengan kepimpinan parti berdasarkan rekod khidmat yang baik.

“Kalau disebut beban itu tidak. Tapi saya rasa tanggungjawab itu agak sedikit menekan. Kerusi ini salah satu daripada kerusi yang menampakkan kehadiran PKR di Sabah,” katanya sambil menyatakan penghargaan kepada penyandang sebelum ini.

Mengulas cabaran kawasan bandar yang unik seperti Api-Api, Thonny berkata isu terbesar ialah memanggil pengundi yang tinggal di luar daerah untuk keluar mengundi. 

“Lima daerah mengundi (Jalan Bandaran, Jalan Istana, Jalan Kebajikan, Kampong Ayer dan Sunny Garden) yang ada di DUN Api-Api, kebanyakannya pengundi tidak tinggal dalam daerah mengundi,” katanya.

Sekiranya diberikan mandat, Thonny berhasrat memperkukuh hubungan dengan pengundi luar kawasan menerusi kerjasama antara wakil rakyat, selain membaiki infrastruktur usang seperti di Sinsuran dan Segama, mengindahkan lorong-lorong bandar serta menjadikan Api-Api suatu identiti yang membanggakan.

Selain sektor pelancongan, Thonny turut memberikan perhatian kepada agenda peningkatan kemahiran belia khususnya mereka yang tidak berpeluang menghabiskan pendidikan formal dengan menumpukan pada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya merasakan perjalanan hidup saya adalah satu berkat daripada Tuhan yang memungkinkan saya berada di sini dan harus mengembalikan kembali hikmat itu kepada masyarakat,” katanya.

Api-Api, yang mempunyai 17,782 pemilih berdaftar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Kota Kinabalu selain Likas dan Luyang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov hari mengundi awal.

Untuk berita terkini PRN Sabah, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php  

 

N20: API-API: SABAH: 17,782

1. Ng Chun Sua                               (PIS)

2. Ting Shu Kiong                           (STAR)

3. Soh Kee Suat @ So Chee Say   (PBK)

4. Loi Kok Liang                              (Warisan)

5. Thonny Chee                               (PH-PKR)

 

(2020: Christina Liew Chin Jin: Warisan Plus-PKR: Maj: 5,347)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan