TAMPARULI, 23 Nov (Bernama) -- Tamparuli berpotensi untuk dipertimbangkan menjadi sebuah daerah penuh, sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketika berucap pada Kempen Mega di Tapak Tamu Baharu Tamparuli, Hajiji yang juga Pengerusi GRS meminta semua pengundi agar memberikan kemenangan kepada calon GRS di kawasan masing-masing, terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.
“Banyak yang GRS akan laksanakan sekiranya kita menang, kita akan teruskan inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini, selain mahu pertimbangkan Tamparuli sebagai daerah penuh. Namun rakyat Tamparuli perlu pastikan calon GRS Tamparuli Dr Bonaventure Boniface menang.
“Apabila Dr Bonaventure menang permohonan menjadikan Tampaluri sebagai daerah penuh akan beliau bawa untuk kita laksanakan, sebelum ini kita telah realisasikan dengan menjadikan Sook dan Paitan sebagai daerah penuh,” katanya pada majlis yang turut dihadiri calon DUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.
Tamparuli terletak di kawasan Parlimen Tuaran dan merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 38 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.
Hajiji berkata sepanjang lima tahun memerintah, kerajaan Sabah di bawah pimpinan GRS telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai bidang serta melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita mempunyai pelbagai inisiatif yang terbukti kita jayakan, hanya mereka yang tidak boleh melihat, bukalah mata ataupun sengaja tidak mahu tahu apa yang telah dilakukan oleh kerajaan GRS selama lima tahun,” katanya.
Hajiji berkata antara yang turut dilaksanakan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR) yang memberi bantuan RM300 kepada 100,000 golongan miskin di Sabah, selain bantuan lain kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Beliau berkata GRS akan membantu rakyat membeli rumah pertama di bawah RM500,000 dengan membayar deposit, sekiranya GRS kembali memerintah.
Pada PRN ke-17, GRS bertanding 55 daripada 73 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 Nov, manakala tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial