Oleh Rohana Nasrah
SEPANGGAR, 26 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai di sini semakin menjadi tumpuan pencari rezeki ekoran proses pembangunan pesat selain berpotensi menjadi pinggir bandar yang lebih maju.
Lokasi strategik DUN Karambunai yang terletak kira-kira 26 kilometer dari Kota Kinabalu serta berhampiran dengan institusi pendidikan dan pusat perindustrian menjadikan ia tumpuan utama dalam mencari peluang ekonomi, sekali gus merancakkan lagi aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.
Namun, ledakan populasi itu turut mendatangkan cabaran tersendiri, termasuk pertumbuhan kawasan perumahan setinggan yang mencetuskan polemik dan rungutan dalam kalangan penduduk setempat.
Penyandang kerusi DUN Karambunai yang juga calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yakub Khan berkata perkara itu memerlukan penyelesaian segera, teratur dan menyeluruh bagi membolehkan penduduk di kawasan berkenaan menikmati kehidupan lebih baik termasuk mendapat bekalan air serta elektrik mencukupi.
“Adalah menjadi misi dan aspirasi saya untuk menjadikan Karambunai ini sebagai sebuah kawasan selamat, tersusun dan teratur demi keselesaan serta kesejahteraan setiap penduduk DUN Karambunai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain itu, Yakub turut mencadangkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dibahagi kepada dua kawasan pentadbiran iaitu DBKK Utara dan DBKK Selatan, dengan mengambil contoh bandar raya Kuching merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara serta Majlis Perbandaran Kuching Selatan.
Yakub berkata pembahagian lokaliti itu penting memandangkan pentadbiran DBKK terlalu besar dan padat, selain Karambunai turut termasuk di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan berkenaan.
“Sekiranya ini terjadi, maka fokus kerja lebih tertumpu dan masyarakat tinggal di taman-taman perumahan yang membayar cukai setiap tahun mendapat perkhidmatan setimpal,” katanya.
Yakub berkata Karambunai bukan sekadar berperanan sebagai pusat perindustrian, malah berpotensi menjadi lokasi utama pembangunan pendidikan khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu berkata selain memperkasa ekosistem pendidikan STEM, langkah itu juga penting untuk meningkatkan prestasi dan mengembangkan bakat generasi muda Sabah dalam bidang berkenaan.
Lokasinya yang terletak berhampiran institusi pendidikan seperti Politeknik dan Institut Kemahiran MARA juga dilihat mampu menyokong usaha kerajaan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), katanya.
“TVET berperanan besar dalam memperkasakan anak-anak muda terutama mereka yang tercicir dalam pelajaran. Melalui kemahiran diberikan, ia memberi mereka peluang untuk menjadi mahir dan membuka peluang mendapatkan sumber pekerjaan atau perusahaan sendiri,” katanya.
Karambunai yang mempunyai 39,247 pemilih berdaftar untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Sepanggar selain Darau dan Inanam.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N16: KARAMBUNAI: SABAH: 39,247
1. Datuk Yakub Khan (BN-UMNO)
2. Mohd Yunus Ibrahim (PBK)
3. Matkri Kassim (PKS)
4. Azman Fathil (GAS)
5. Datuk Arshad Idris (GRS-Gagasan Rakyat)
6. Hates Abdul (SPP)
7. Datuk Dr Aliakhbar Gulasan (PN-PAS)
8. Datuk Stephen Teo (STAR)
9. Ahmad Jais Otong (Warisan
10. Saikam Salinggou (Perpaduan)
11. Adis Jalie (PIS)
(2020: Datuk Yakub Khan: BN-UMNO: Maj: 16)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial