SUKAN > BERITA

AARON TAI-KHAI XING BERGURU DENGAN AARON CHIA-WOOI YIK

24/09/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Sesi latihan bersama bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberikan tonik tambahan buat beregu remaja negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing dalam misi memburu pingat emas di Kejohanan Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, hujung bulan ini.

Menurut Khai Xing, beliau mengakui permainannya bersama Aaron juga semakin matang berbanding ketika beraksi di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia Julai lepas, hasil nasihat dan bimbingan senior mereka itu.

“Saya rasa ada kelebihan sebab jurulatih Rexy (Mainaky) pun bagi kita peluang untuk berlatih dengan Aaron-Wooi Yik. Saya rasa aura dia lain macam sikit sebab sparring dengan juara dunia.

“Saya rasa sekarang lebih semangat sebab mereka (Aaron-Wooi Yik) pun ada memberikan sokongan dan bimbingan daripada belakang kalau buat apa-apa kesilapan. Jadi kita ambil peluang untuk cuba yang terbaik untuk dapatkan pingat emas," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad remaja negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.

Untuk rekod pada Kejohanan Remaja Asia lepas, Aaron-Khai Xing yang merupakan pilihan pertama kejohanan terlepas pingat emas selepas tumpas kepada pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 13-21, 11-21 pada perlawanan akhir.

Aaron berkata beliau dan Khai Xing sudah 100 peratus bersedia untuk beraksi di Nanchang.

“Saya rasa masa di Kejohanan Remaja Asia semasa final kita dah rasa penat...jadi masa latihan kita perkuatkan stamina. 

“Saya rasa di kejohanan dunia nanti kami boleh beraksi lebih bagus. Fizikal kita juga semakin bagus dan itu kelebihan buat kita,” katanya yang membawa pulang gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia tahun lepas. 

Kali terakhir Malaysia memenangi emas dalam acara beregu di kejohanan tersebut adalah menerusi Nelson Heg-Teo Ee Yii pada 2011.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan