SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: FREDDY 'PINJAM' SEMANGAT NARUTO PASTIKAN TIDAK PULANG TANGAN KOSONG

24/09/2024 02:41 PM

KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Atlet Sabah Freddy Waldie mencuri tumpuan di Stadium Sarawak apabila tampil dengan menggayakan watak adiwira popular Jepun, Naruto, dalam acara lontar peluru lelaki F54 Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini.

Bukan sahaja tampil dengan gaya rambut terpacak berserta headband mirip watak ciptaan Masashi Kishimoto, atlet berusia 31 tahun berkerusi roda itu juga ‘meminjam’ semangat juang pelatih ninja remaja berkenaan untuk memastikan beliau tidak pulang tangan kosong pada edisi kali ini.

Atlet kelahiran Kiulu itu melakukan lontaran terbaik sejauh 5.68 meter (m) pada percubaan keempat untuk membawa pulang pingat perak buat kontijen Sabah, di belakang wakil tuan rumah Jap Soon Hung yang mempertahankan emas dimenanginya selepas mencatatkan rekod baharu temasya 8.22m, memadam rekod miliknya 8.18m dilakukan pada edisi 2022.

Seorang lagi wakil Sabah Muhamad Khairi Military Lorin melengkapkan kedudukan podium selepas melakukan 5.52m.

“Saya gemar menonton siri Naruto, lebih-lebih lagi semangat juang dipaparkan. Ia banyak memberi motivasi kepada saya untuk bertanding. Sebenarnya saya hanya pakai rambut palsu, sebab saya botak,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi kejayaannya hari ini, Freddy mengakui terkejut apabila menduduki tempat kedua, sekali gus dapat menebus kekecewaanya pada edisi lepas yang sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.

Beliau berkata kejayaan dikecapinya hari ini setimpal dengan usaha dilakukannya sepanjang dua tahun lepas dengan menjalani latihan intensif selama enam jam setiap hari demi memperbaiki prestasi pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.

“Keputusan saya untuk cuba nasib dalam sukan olahraga pada 2021 telah memberi nafas baharu dalam hidup selepas saya terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga mengakibatkan tulang belakang patah pada 2013.

“Seorang rakan ajak saya menyertai program sukan di Tambunan dan dari situ segala-galanya bermula buat saya,” katanya.

Sementara itu, Soon Hung, 39, menyifatkan berkat bantuan isterinya Michelle Bonny, 28, yang sering mendampinginya sewaktu sesi latihan membawanya ke puncak kejayaan di Para SUKMA buat kali keempat berturut-turut termasuk memperbaharui rekod baharu temasya.

“Isteri saya sering bantu saya sewaktu sesi latihan. Dia yang ambil peluru selepas saya lontar kerana saya sukar bergerak,” katanya yang lumpuh separuh badan selepas mengalami ketumbuhan di belakang badan ketika berusia 12 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan