SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: DARI CUBA NASIB, KINI AHMAD NAZRI BERGELAR JUARA  

25/09/2024 06:03 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Atlet Selangor Ahmad Nazri Hamzah yang sekadar mencuba nasib dalam sukan tenpin boling melakar kejutan apabila memenangi pingat emas acara individu TPB8 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini.

Ahmad Nazri, 34, yang merupakan atlet bola keranjang berkerusi roda kebangsaan membuat keputusan menyertai sukan tenpin boling pada Para SUKMA 2022.

“Sebenarnya saya adalah atlet Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia tetapi dua tahun lepas (Para SUKMA 2022) bola keranjang tidak dipertandingkan. Jadi saya cuba sahajalah main tenpin boling kerana memang berminat juga.

“Dua tahun lepas saya memang tidak membuat persiapan apa-apa dan tidak berjaya menaiki podium… tetapi kali ini saya betul-betul fokus dan tidak sangka boleh menang bermain dengan atlet yang dah lama dalam sukan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan.

Ahmad Nazri mencatat 987 jatuhan pin untuk merangkul emas manakala perak menjadi milik seorang lagi atlet Selangor Rosheedey Faizal Roslan (942 pin) dan gangsa milik Alim Sohai dari Sarawak (925 pin).

Sementara itu, dalam acara individu TPB4 (kecacatan intelektual) atlet Pahang Muhammad Hadwan Hilman Mohd Nor Hisham meraih emas manakala dua atlet tuan rumah iaitu Abg Yahya Abg Azhar dan Muhammad Zul Adly Majeni masing-masing memenangi perak dan gangsa.

Tenpin boling menawarkan 20 pingat emas pada Para SUKMA 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan