SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: SUKAN CATUR ‘AKTIFKAN ’ DERIA PENGLIHATAN FARHAN

25/09/2024 09:50 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Atlet catur Perak Muhammad Farhan Norhayalim mengakui, beliau sukar untuk menerima takdir yang menimpa dirinya sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit glaukoma pada usia 18 tahun yang menyebabkannya hilang penglihatan secara perlahan.

Bagaimanapun, dua tahun selepas tragedi itu Farhan bertekad untuk berjinak-jinak dengan dunia catur sehingga berjaya menuai emas pertama dalam acara standard B1 (kecacatan penglihatan) perseorangan lelaki pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak.

“Ini kali ketiga saya menyertai Para SUKMA. Sebelum ini, saya menyertai catur bagi kategori B2-B3 iaitu kecacatan penglihatan separa, namun saya perlu bertukar ke acara B1 setelah saya buta sepenuhnya, jadi ia memberi kelebihan kerana saya sudah hafal kedudukan buah catur dan tak perlu meraba-raba papan. 

“Selepas Para SUKMA pertama saya iaitu 2018, saya berazam untuk mengambil serius dalam sukan catur dan fokus dengan belajar sendiri secara dalam talian dan bersama jurulatih, selain bermain dengan orang yang celik.

“Walaupun awalnya kerap kalah, tapi titik peluh saya nampaknya membuahkan hasil,” kata anak jati Seri Manjung, Perak itu kepada Bernama. 

Beliau memperoleh kemenangan selepas menjuarai tiga pusingan dan seri dua pusingan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Muhammad Ammar Ibrahim dari Johor dan Yeoh Kok Soon dari Perak. 

Berkongsi cerita penyakit yang dialaminya, Farhan yang kini menginjak usia 35 tahun berkata beliau seolah-olah jatuh ditimpa tangga apabila doktor turut mengesahkannya menghidap diabetes.

“Abang saya terlebih dahulu menghidap glaukoma, jadi saya dah nampak bagaimana situasi sekiranya mendapat glaukoma dan doktor memaklumkan ini merupakan penyakit genetik dan kami berdua merupakan generasi pertama,” katanya yang bekerja sebagai tukang urut. 

Lebih manis, Farhan dan abangnya, Muhammad Fahmi Norhayalim yang menyertai acara sama turut menghadiahkan kilauan emas buat Perak bagi acara standard B1 berpasukan lelaki bersama rakan sepasukan, Yeoh Kok Soon.

Skuad catur Perak mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi dua lagi emas dalam acara standard B1 perseorangan wanita menerusi Norhayati Sarnoh dan standard B1 berpasukan wanita.

Selain itu, acara standard P1 (kecacatan fizikal) berpasukan lelaki negeri berkenaan menggondol dua emas bagi kategori berpasukan dan perseorangan menerusi Muhammad Nazmi Md Nizam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan