SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: KEHEBATAN BROWNSON PENYAMBUNG LEGASI KELUARGA GUSTIN

25/09/2024 09:28 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Atlet powerlifting tuan rumah Brownson John Gustin membuat penampilan sulung luar biasa pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak dengan memenangi pingat gangsa dalam kategori lelaki bawah 80 kilogram (kg) hari ini.

Kejayaan itu membolehkan Brownson mengikut jejak langkah bapanya, Gustin Jenang dan abang-abangnya Bryan Junency dan juara dua kali Paralimpik Bonnie Bunyau, yang kesemuanya pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Atlet berusia 15 tahun itu meraih gangsa selepas berjaya melakukan angkatan terbaik 93kg pada percubaan ketiganya, yang mendapat sorakan daripada pemegang rekod dunia Bonnie, Bryan, Gustin, ibunya Evelyn Gelaga, dan penyokong kuat tuan rumah.

Sebelum ini, beliau mengangkat 81kg dan 85kg untuk menduduki tempat keempat dengan jumlah angkatan keseluruhan 259kg di Kompleks Belia dan Sukan.

Rakan kontinjen Mohd Firdaus Affandi merangkul pingat emas pada angkatan kedua terbaik (125kg) dan jumlah keseluruhan angkatan 368kg, Mohd Rosdi Yaakup dari Pulau Pinang (100kg, 285kg) meraih pingat perak, manakala Mohamad Azam Asmawi (262kg) dari Johor memenangi gangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Brownson berkata beliau mengambil keputusan untuk menyertai sukan itu tahun lepas, diilhamkan oleh bapa dan abang keduanya Bonnie, yang merangkul emas Paralimpik di Tokyo 2020 dan Paris 2024.

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi lebih terkenal daripada abang saya. Ini merupakan pertandingan pertama bagi saya, sangat bangga dapat buat angkatan ini di depan dia. Ayah dan abang ada pesan supaya jangan gementar ketika membuat angkatan, kerana yang kita lawan itu besi bukan orang.

“Penglibatan dalam sukan ini memberikan saya disiplin kerana dulu saya banyak buang masa main permainan, tapi selepas mula masuk powerlifting, saya tidur awal, bangun pagi dan bersiap ke latihan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taee, Serian itu. 

Sementara itu, Bonnie berbangga dengan pencapaian adik bongsunya, dan percaya Brownson boleh mengikut jejak langkahnya untuk menjadi juara dunia dan Paralimpik pada masa hadapan.

Gustin, 58, yang menyertai pasukan kebangsaan dari 2006 hingga Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur berkata disiplin dan prestasi Brownson bertambah baik sejak menyertai kem latihan berpusat negeri itu pada Julai.

“Sebelum masuk sukan, dia kurang disiplin, nak bangun pun emak dia kena kejutkan sampai 10 kali, tetapi sejak masuk latihan berpusat, pagi pun dia bangun sendiri, bersemangat dia untuk berlatih, disiplin diri meningkat. 

“Seperti semua ibu bapa, kita harapkan anak-anak berjaya ke peringkat lebih tinggi. Powerlifting ini banyak membantu keluarga kami, termasuk dari segi ekonomi sejak saya jadi atlet lagi,” katanya. 

Bulan lepas, Bonnie mempertahankan emas Paralimpiknya dalam kategori 72kg lelaki dengan mengangkat 232kg, memecahkan rekod dunia sebelumnya iaitu 231kg yang pernah dicatat pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Beliau juga mencipta rekod baharu Paralimpik, melepasi catatan sebelumnya iaitu 228kg pada Paralimpik Tokyo 2020.

Semalam, Bryan mencipta rekod kebangsaan baharu dalam usaha memenangi pingat emas Para SUKMA bagi kategori bawah 88kg lelaki dengan mengangkat 191kg.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan