SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: SARAWAK LEPASI LEBIH SEPARUH SASARAN EMAS

25/09/2024 09:19 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) — Kontinjen Sarawak dilihat berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 83 pingat emas dalam Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 dengan berbaki tiga hari lagi sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai.

Setakat pukul 8 malam ini, tuan rumah yang turun dengan semangat  ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ telah melepasi lebih separuh daripada sasaran emas selepas meraih 56 emas, 36 perak dan 47 gangsa, manakala juara bertahan Sabah mengikuti rapat di tangga kedua (44-24-20), diikuti Selangor (20-30-26). 

Antara yang mencuri tumpuan pada hari ini ialah aksi renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, apabila lima rekod para kebangsaan dan empat rekod temasya berjaya dileburkan.

Antaranya ialah Aleeya Fariesya Faizul dari Negeri Sembilan yang merekodkan 3 minit 05.36 saat (s) untuk memadam catatan 3:19.08s dilakukan wakil Kedah, Puteri Nur Diyana Megat, enam tahun lepas bagi kategori 200m gaya bebas wanita S14 (kecacatan intelektual). 

Wakil Sabah, Ethan Khoo yang sudah mempunyai satu pingat emas dan gangsa dalam genggaman mencatatkan 2:22.02s bagi acara 200m rampaian individu lelaki SM14 (kecacatan intelektual) untuk meleburkan rekod Muhammad Imaan Aiman 2:22.12 pada tahun lepas. 

Sukan olahraga juga tidak kurang hebatnya apabila pemenang emas, perak dan gangsa bagi kategori rejam lembing wanita F40 (kecacatan fizikal) masing-masing memadamkan rekod temasya 8.54m yang dilakukan wakil Sarawak, Cordiria Nyoted pada 2018. 

Atlet Sabah, Fredechi Asri memenangi pingat emas acara berkenaan, manakala atlet tuan rumah, Mary Bada dan Noor Zaidah Dahlan menuai pingat perak dan gangsa di Stadium Sarawak. 

Sementara itu, saingan di Kompleks Belia dan Sukan menyaksikan atlet tuan rumah, Brownson John Gustin yang merupakan adik kepada Bryan Junency dan juara Paralimpik dua kali, Bonnie Bunyau berjaya menghadiahkan pingat gangsa menerusi angkatan terbaik acara powerlifting lelaki bawah 80 kilogram (kg). 

Pertarungan merebut gelaran juara keseluruhan temasya dwitahunan itu dijangka semakin hangat dengan 127 pingat emas lagi ditawarkan dengan 65 daripadanya bakal menjadi rebutan esok. 

Daripada jumlah itu, olahraga sekali lagi menawarkan gelaran juara paling banyak dengan 25 diikuti renang (15), boccia (tujuh), powerlifting (enam), memanah (lima), tenpin boling (empat) dan ping pong melalui tiga acara.

— BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan