SUKAN > BERITA

SENARAI PENDEK CALON KETUA JURULATIH TFC SUDAH ADA - AHMAD SAMSURI

02/10/2024 05:40 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan beberapa calon telah disenarai pendek bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC). 

Ia susulan kenyataan oleh Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) semalam yang memaklumkan Tomislav Steinbruckner, 58, telah melepaskan jawatan yang disandangnya sejak musim lepas itu berkuat kuasa serta-merta.

Enggan mendedahkan barisan nama-nama berkenaan, Ahmad Samsuri bagaimanapun memberi jaminan perkara itu akan diuruskan sebaik mungkin. 

“Saya tak nak komen lagi. Biar kita tangani dulu. Nanti komen, ada yang kecil hati pula.

“Ada penolong yang jalankan tugas (menggantikan Steinbruckner). Tidak bermakna bila tiada (jurulatih) terus tergantung sahaja. Kita akan uruskan dalam cara yang sebaik boleh,” katanya selepas Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Berkuasa Tempatan negeri Terengganu Penggal 2024-2026 di sini hari ini. 

Penamatan kontrak jurulatih dari Croatia itu adalah atas persetujuan bersama dengan majikannya dan tugas ketua jurulatih berkenaan akan diambil alih oleh Penolong Ketua Jurulatih Badrul Afzan Razali dan Hairudin Omar untuk sementara waktu, mengikut kenyataan itu.

Steinbruckner menjadi sasaran kemarahan penyokong pasukan gergasi Pantai Timur selepas tewas dalam lima perlawanan berturut-turut dan terbaru ketika menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu lepas.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memberi jaminan akan menyelesaikan isu tunggakan gaji melibatkan bekas penyerang import Terengganu FC (TFC) Adisak Kraison yang mencecah sehingga lima angka. 

“Saya tidak kata itu perkara biasa, tapi perlukan penelitian oleh pasukan supaya tidak lagi berulang. Akan bayar dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Mohd Sabri Abas berkata pihaknya mengakui terdapat tunggakan pembayaran gaji melibatkan pemain kelahiran Thailand itu bagi Disember lepas yang mencecah lima angka.

Mohd Sabri berkata tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara dengan pihak ketiga seperti sewa rumah, kenderaan dan lain-lain sebagaimana termaktub dalam kontrak, termasuk tuntutan melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan