SUKAN > BERITA

LTDL 2024: DE KLEIJN LAKAR KEMENANGAN PERINGKAT KALI KEDUA

03/10/2024 06:48 PM

MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Pelumba Tudor Pro Cycling Team Arvid de Kleijn mencipta sensasi merangkul kemenangan peringkat bagi kali kedua pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas mengungguli peringkat kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka sejauh 167.3 kilometer (km) hari ini.

Pelumba Belanda turut digelar Little Gorilla itu yang melakar kemenangan peringkat keempat semalam berjaya mengekalkan penguasaan podium selepas menjadi peserta pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 35 minit 30 saat.

Pelumba JCL Team UKYO Matteo Malucelli dan pelumba Astana Qazaqstan Team Gleb Syritsa masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.

“Ia merupakan keputusan yang sempurna mengikut saya. Pendahuluan sempurna dari pasukan saya pada hanya sebelum 200 meter (m), saya boleh rasa mereka (pelumba lain) mendekati, jadi perlu terus memecut.

“Saya fikir Malucelli (pelumba UKYO) berada agak dekat iaitu di belakang tayar basikal saya, dia cuba memotong tetapi tidak berjaya,” katanya.

Kejayaan menawan peringkat kelima itu sekali gus menyaksikan de Kleijn menambah koleksi kemenangan di pentas LTdL selepas pakar pecut itu memenangi peringkat satu dan enam pada edisi 2023.

Dalam pada itu, pemilikan empat jersi utama masih kekal dengan pelumba DSM-Firmenich PostNL Max Poole jersi hijau (pendahulu keseluruhan), Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO jersi putih (pelumba terbaik Asia) diikuti rakan sepasukannya Matteo Malucelli jersi jingga (Raja Pecut). 

Sementara itu, jersi polka dot (Raja Bukit) masih disarung pelumba Burgos-BH Mario Aparicio Munoz.

Esok, perlumbaan peringkat keenam akan berlangsung dari Batu Pahat ke Kulai dengan jarak 123.4km, menawarkan zon pecutan di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan