SUKAN > BERITA

LTDL 2024: MUHAMMAD YUSRI LEGA LEPASI PERINGKAT LALUAN BERBUKIT

03/10/2024 06:18 PM

MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Pelumba muda skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan Muhammad Yusri Shaari boleh menarik nafas lega selepas berjaya mengharungi tiga peringkat awal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang ‘menyajikan’ laluan berbukit.

Pelumba berusia 25 tahun itu berkata peranannya selaku pelumba serba boleh (all rounder) akan digunakan sepenuhnya dalam membantu pasukan memburu kelompok tiga pasukan terbaik Asia bermula peringkat keenam esok, yang menawarkan laluan landai dari Batu Pahat ke Kulai sejauh 123.4 kilometer (km).

"Peringkat paling ditakuti sudah berakhir dan baki tiga peringkat perlumbaan LTdL membuka peluang buat pelumba all rounder seperti saya serta pakar pecut.

"Semalam ialah peringkat (keempat) paling ditakuti kerana kami hanya boleh ketinggalan sejauh 19 minit daripada peloton (elak daripada melebihi had masa). Jadi berakhirnya perlumbaan hari ini (peringkat kelima) tiada lagi bukit dan semua pelumba boleh berasa lega," katanya.

Terdahulu, skuad kendalian ketua jurulatih Mohd Yusof Nasir itu 'tempang' selepas kapten, Muhammad Elmi Jumari, terpaksa menarik diri akibat kecederaan jari dan tulang selangka, selain Abdul Azim Aliyas yang tersingkir daripada perlumbaan berikutan tidak menamatkan perlumbaan dalam had masa ditetapkan (OTL) pada peringkat keempat.

“Untuk peringkat seterusnya, kami hanya ada all rounder dan pakar bukit. Saya dan Afiq (Muhammad Afiq Huznie Othman) ialah all rounder manakala Muhsin (Muhsin Al Redha Misbah) serta Ren Bao (Tsen Ren Bao) pula pendaki, namun Muhsin boleh bertindak sebagai pelumba pecut.

"Kami merancang untuk melakukan pemecahan awal pada peringkat keenam esok," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan