SUKAN > BERITA

TERBUKA INDIA: PASANGAN 'EDISI TERHAD' MATSUTOMO-SHIDA SASAR AKHIRI GANDINGAN DENGAN KEPUTUSAN CEMERLANG

10/01/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Satu selesai, satu lagi menunggu.

Beregu wanita Jepun yang baharu dipadankan (scratch pair) Misaki Matsutomo-Chiharu Shida berazam untuk bangkit selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia 2025 di sini hari ini.

Digelar sebagai pasangan ‘edisi terhad’, mereka kini meletakkan sasaran untuk merangkul gelaran di Terbuka India 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 19 Jan di New Delhi.

Matsutomo berharap mereka akan beraksi jauh lebih baik dalam kejohanan Super 750 itu kerana memenangi Terbuka India 2025, pertandingan kedua dan terakhir mereka, akan menjadi pencapaian manis buat mereka, terutamanya berdasarkan gandingan singkat mereka.

“Sudah tentu kami mahu memenanginya (Terbuka India 2025). Kami percaya kami bertambah baik dengan setiap perlawanan yang kami lalui bersama.

“Kami akan terus melakukan persediaan untuk kejohanan seterusnya dan berusaha sebaik mungkin sebagai pasangan,” katanya kepada pemberita ketika temu bual selepas perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Matsutomo-Shida sebelum itu tewas kepada pilihan keempat dari China Li Yi Jing-Luo Xu Min 16-21, 16-21, dalam masa 52 minit.

Sementara itu, Shida berkata ia adalah satu keistimewaan untuknya bermain bersama pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu kerana dia telah belajar banyak daripada pemain berusia 32 tahun berkenaan.

“Mindanya sangat kuat dan tidak ramai pemain yang mempunyai pemahaman mengenai kedudukan dalam permainan seperti dimiliki Matsutomo. Saya mahu terus belajar daripadanya,” katanya.

Mengenai pasangan sebenarnya, Shida berkata Nami Matsuyama kini sedang berehat dan berharap mereka akan membuat kemunculan semula pada kejohanan badminton tertua di dunia, All England 2025 dari 11-16 Mac di Birmingham.

Memandangkan pemenang pingat gangsa Paris 2024 itu tidak memenangi sebarang kejuaraan Jelajah Dunia tahun lepas, pemain berusia 27 tahun itu berharap untuk menyambut kembalinya Matsuyama beraksi dengan memenangi gelaran All England kedua mereka sejak pertama kali memenanginya pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan