KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Jurulatih skuad pingpong kebangsaan Beh Lee Wei yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis depan.
Beliau berkata pemain negara mempunyai keazaman tinggi untuk melakar kejayaan, sekali gus beraksi lebih baik berbanding pada edisi sebelum ini di Phnom Penh, Kemboja.
Lee Wei berkata keyakinan itu hadir berdasarkan pencapaian luar biasa Malaysia yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat kali pertama pada Kejohanan Pingpong Asia Tenggara (SEA) di Bangkok, November lepas.
“Ya, memang (pencapaian pada Kejohanan Pingpong SEA) akan memberi motivasi kepada pemain kami pada Sukan SEA 2025. Walaupun Singapura dan Thailand tidak menghantar skuad terkuat mereka, saya dapat melihat para pemain telah menunjukkan peningkatan besar dalam permainan mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Pada Kejohanan Pingpong SEA, Malaysia memenangi lima daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan, selain dua pingat perak dan empat gangsa, sekali gus menjadikannya pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan itu.
Pencapaian itu juga lebih baik berbanding edisi 2022 di Bangkok, apabila mereka hanya meraih satu pingat perak dan dua gangsa, manakala pada Sukan SEA 2023, Malaysia sekadar meraih tiga pingat perak dan dua gangsa.
Sementara itu, Lee Wei berkata mereka akan menurunkan skuad yang kompetitif dalam usaha mencabar dominasi Singapura dan Thailand pada Sukan SEA 2025.
Bagi mencapai sasaran itu, mereka telah merangka pelan komprehensif termasuk menghantar pemain bertanding pada kejohanan antarabangsa dan menjalani latihan di luar negara, dengan memberi tumpuan kepada negara Asia sebagai pangkalan utama latihan.
Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial