ISKANDAR PUTERI, 24 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski memuji pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim, sekali gus menggambarkan beliau sebagai pemain yang lincah dengan keupayaan untuk mengucar-ngacirkan lawan menerusi intensiti serangannya.
Cklamovski berkata kepulangan Faisal Halim dalam pasukan kebangsaan sangat wajar.
“Sangat menarik untuk melihatnya kembali dalam pasukan kebangsaan. Beliau seorang pemain sayap yang hebat, pemain yang menarik dan mampu memberikan ancaman besar kepada pasukan lawan apabila beliau menyerang. Beliau bermain dengan intensiti dan niat yang jelas dalam setiap tindakannya. Saya yakin ini adalah saat yang baik untuk kembali menyertai pasukan kebangsaan.
“Beliau berhak mendapatnya dan saya rasa beliau mempunyai cerita untuk diceritakan. Perjalanan itu akan terus berkembang seiring dengan kemajuannya,” katanya pada sidang media praperlawanan menjelang aksi pembukaan Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim malam esok di sini hari ini.
Jurulatih berusia 46 tahun dari Australia itu turut memuji kemampuan Faisal Halim menyesuaikan diri dalam pasukan, sambil memberitahu semua pemain memberikan respons yang baik dalam kem latihan selama lapan hari itu.
“Saya rasa beliau menyesuaikan diri dengan sangat baik, begitu juga dengan semua pemain lain. Saya sangat berpuas hati dengan tahap fizikal mereka. Kami telah menjalankan ujian untuk menilai kedudukan kami sebagai sebuah pasukan dan secara individu bagi setiap pemain.
“Apa yang penting adalah bagaimana kami boleh terus meningkatkan setiap pemain. Kami melalui lapan hari di kem latihan, tetapi fokus kami melangkaui tempoh ini. Malah, bagi mereka yang tiada dalam skuad pada masa ini, kami mempunyai strategi di luar kem untuk meningkatkan tahap fizikal setiap pemain,” katanya.
Pada 5 Mei tahun lepas, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badannya dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Ini adalah kali pertama beliau dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sejak kejadian simbahan asid itu.
Nama Faisal Halim kembali menjadi tumpuan selepas pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan hatrik ketika membantu kemenangan 7-0 Selangor FC ke atas Kelantan Darul Naim FC dalam perlawanan Liga Super pada 8 Mac lepas.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-132 dalam ranking FIFA, manakala Nepal berada di kedudukan ke-175.
Selain Nepal, Malaysia juga akan berdepan cabaran Vietnam dan Laos dalam Kumpulan F, dengan hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial