SUKAN > BERITA

KELAYAKAN PIALA ASIA: NEPAL MAHU PERLAHANKAN RENTAK MALAYSIA

24/03/2025 06:37 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih Nepal Matt Ross yakin pasukannya mampu berdepan cabaran menentang Malaysia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.

Mengakui kepantasan dan keupayaan teknikal skuad Harimau Malaya sebagai ancaman utama, Ross berkata pemain warisan Malaysia menjadi faktor penting yang menambah dimensi berbeza kepada gaya permainan mereka berbanding pasukan Asia Tenggara yang lain.

"Saya berpendapat pemain warisan, yang menawarkan kelainan daripada gaya (permainan) Asia Tenggara. Saya rasa kepantasan dan kemampuan teknikal beberapa pemain utama akan menjadi ujian besar buat kami.

"Kami tahu bagaimana Malaysia bermain - pantas, teknikal, kerap mengasak dan menyerang. Kami perlu bersedia untuk semua aspek ini dan menyesuaikan diri dengan rentak lebih laju daripada apa yang biasa buat pemain kami di tanah air," katanya pada sidang media praperlawanan sempena perlawanan esok, di sini hari ini.

Ross berkata Nepal telah pun melakukan penyesuaian taktikal ketika menang 1-0 bertemu Singapura dalam perlawanan persabahatan antarabangsa dan akan melaksanakan pendekatan sama untuk menentang Malaysia.

"Ketika menentang Singapura kami cuba memperlahankan rentak dan kami akan lakukan perkara yang sama malam esok. Kami akan cuba mengawal perlawanan," tambahnya

Jurulatih warga Australia itu berkata Nepal menganggap perlawanan ini sebagai lembaran baharu dalam perjalanan bola sepak mereka, menyasarkan untuk membuktikan bahawa mereka boleh bertanding dalam peringkat tertinggi pertandingan Persekutuan Bola Sepak Asia.

Sementara itu, Kapten Nepal Kiran Kumar Limbu berkata pasukannya bersedia untuk perlawanan yang sukar dan sengit menentang Malaysia.

Tidak mahu mengungkit kekalahan lepas, termasuk ketika tewas 1-5 kepada Malaysia dalam perlawanan persahabatan tertutup di Shah Alam, Mac tahun lalu, beliau berkata fokus pasukannya ditetapkan untuk masa sekarang dan masa depan.

"Pada saya, yang lepas sudah berlalu, dan saya tak mahu mengenangnya. Ia menyakitkan, tetapi sekarang semuanya tentang masa kini dan masa depan. Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini dan seperti yang dikatakan jurulatih, ia tentang mentaliti.

"Kami sangat kuat sekarang dan perlawanan esok akan sangat sengit. Semuanya tentang minda. Yang lepas tidak penting lagi - kami sudah bersedia," katanya.

Berada di ranking ke-132 FIFA, Malaysia berkedudukan lebih baik daripada Nepal yang berada di tangga ke-175.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan