SUKAN > BERITA

ZII JIA DAPAT PERLINDUNGAN RANKING BWF

24/03/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Perseorangan badminton lelaki profesional Lee Zii Jia mungkin akan berehat seketika selepas pihak pengurusannnya Team LZJ berjaya memohon untuk perlindungan ranking di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Team LZJ dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil selepas pertimbangan teliti dan nasihat daripada pihak berkaitan termasuk pakar perubatan.

"Ini bagi membolehkan Zii Jia meneruskan tempoh pemulihan daripada kecederaan buku lali kanan dan akan terlepas beberapa kejohanan akan datang termasuk Kejohanan Badminton Asia.

"Percayalah kami sedang melakukan yang terbaik untuk membantu Zii Jia dalam program rehabilitasi dan latihannya. Bila beliau kembali ke gelanggang akan bergantung kepada pemulihannya," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Team LZJ berterima kasih kepada peminat dan penaja atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pemain nombor lapan dunia itu.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang muncul juara Asia pada 2022, menarik diri daripada Terbuka Swiss 2025 yang berakhir semalam kerana kecederaan.

Perlindungan ranking boleh dimohon oleh mana-mana pemain yang jatuh sakit atau mengalami kecederaan yang menghalang mereka daripada beraksi dari tiga hingga 12 bulan.

Sebaik berkuat kuasa, ia akan melindungi ranking asal pemain agar mereka boleh mendaftar bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila kembali cergas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan