SUKAN > BERITA

TANG JIE-EE WEI DIREHATKAN SEMENTARA WAKTU - NOVA WIDIANTO

24/03/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sah direhatkan buat sementara waktu daripada sebarang kejohanan susulan perselisihan faham antara mereka ketika ini.

Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata beliau mengambil keputusan itu bagi memberi ruang buat pasangan keempat dunia itu menjernihkan semula hubungan mereka.

Beliau berkata hubungan gandingan itu dikesan dingin sejak Sukan Olimpik Paris 2024 yang menyaksikan penampilan pertama mereka pada temasya sukan berprestij dunia berakhir di suku akhir selepas tumpas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun 19-21, 14-21.

“Isu ini (kurang persefahaman) sudah lama, misalnya hasilnya tidak bagus, mungkin ada hubungan kurang bagus.

“Mungkin isu ini berlaku disebabkan harapan semakin tinggi terhadap mereka. Di awal dahulu mereka masih kejar ranking, masih okay kalau kalah tapi sekarang kerana harapan tinggi, mungkin belum boleh kawal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini, hari ini.

Susulan itu, beregu berkenaan terlepas peluang beraksi di Kejohanan Badminton Asia 2025 dijadual berlangsung di Ningbo, China, dari 8 hingga 13 April ini.

Sekiranya hubungan Tang Jie-Ee Wei masih belum pulih, Nova tidak menolak kemungkinan untuk menggandingkan mereka dengan pemain muda pada Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand, Mei ini.

“Sekiranya tidak ada perubahan, kita harus pecah, kerana dikhuatiri situasi ini akan terjadi lagi,” katanya.

Ditanya sama ada pernah mereka meminta untuk berpecah, Nova berkata Tang Jie-Ee Wei sememangnya pernah berhasrat berbuat demikian ketika mereka gagal mengawal emosi antara satu sama lain.

Baru-baru ini, Ee Wei memadam semua gambar bersama Tang Jie di laman Instagram selepas mereka tersungkur di pusingan pertama All England 2025, sekali gus menguatkan spekulasi terdapat perselisihan antara mereka.

Tang Jie-Ee Wei tunduk kepada pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-18, 20-22, 11-21, dalam kejohanan tertua badminton dunia yang berlangsung di Birmingham.

Sementara itu, Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam berkata satu pengumuman penting bakal dimaklumkannya selepas mesyuarat exco badan induk tersebut esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan