KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa gandingan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, akan dipisahkan bagi kejohanan akan datang.
Menurut kenyataan di laman Facebook BAM, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa prestasi baru-baru ini berdasarkan cadangan daripada panel kejurulatihan, termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky dan Ketua Jurulatih Beregu Campuran Nova Widianto.
“Kami telah bersetuju memberi masa kepada jurulatih untuk mencuba kombinasi baharu yang berpotensi,” kata kenyataan itu.
Isnin lepas Nova mendedahkan bahawa Tang Jie dan Ee Wei digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan, susulan ketegangan dalam hubungan mereka ketika ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pasangan beregu campuran ranking keempat dunia itu, menyelesaikan isu antara mereka.
Ketegangan dalam hubungan mereka dikatakan bermula sejak temasya Sukan Olimpik Paris 2024, di mana mereka tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 19-21, 14-21.
Baru-baru ini, Ee Wei memadamkan semua gambar bersama Tang Jie di akaun Instagramnya, susulan kekalahan mereka di pusingan pertama All England 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial