SUKAN > BERITA

PERSIAPAN SRI PAHANG TIDAK TERJEJAS TANPA DUA TONGGAK UTAMA - FANDI

25/04/2025 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad menegaskan persiapan skuad bimbingannya tidak terjejas meskipun ketiadaan dua tonggak utama pada final Piala Malaysia 2024/2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok.

Fandi berkata penyerang Kpah Sherman digantung perlawanan, manakala pemain sayap Manuel Hidalgo memiliki status sebagai pemain pinjaman dari skuad Harimau Selatan itu.

“Meskipun kehilangan kedua-dua pemain ini memberi kesan kepada perancangan awal, skuad Tok Gajah masih memiliki kekuatan seimbang untuk bersaing dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia pertama sejak kali terakhir memenanginya pada 2014,” katanya.

Bekas pemain Pahang dan skuad kebangsaan Singapura itu berkata demikian pada sidang media praperlawanan final Piala Malaysia 2024/2025 antara Sri Pahang dan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. 

Pada masa sama, Fandi menegaskan bahawa kualiti teknikal sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi JDT selaku juara bertahan, yang memiliki pengalaman luas dan konsisten di pentas final.

“Yang paling penting adalah mentaliti. Kualiti harus ada tapi mentaliti kalau tak ada susah. Sebab saya lihat daripada disiplin dan keazaman mereka, bukan hanya pada kebolehan tetapi kemahuan yang lebih tinggi. Pasal lawan JDT kalau tak ada kemahuan, pengsan,” katanya.

Fandi berkata sebahagian besar pemain dalam skuad kendaliannya belum pernah beraksi di pentas final kejohanan berprestij itu, namun beliau yakin situasi itu akan menjadi motivasi tambahan kepada mereka.

Beliau berkata fokus para pemain turut berada pada tahap optimum selepas menjalani sesi latihan intensif di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, selain pendekatan psikologi yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan sejak hampir dua minggu lepas.

“Saya rasa ramai daripada pemain ini tidak pernah bermain di pentas final dan Piala Malaysia ini sejak zaman dahulu lagi prestijnya sangat tinggi. Jadi, mereka semua mempunyai keinginan dan saya tahu macam mana nak memotivasi mereka, bagi mereka rasa teruja sangat nak main.

“Jadi, masa latihan saya tengok semua pemain bagi 100 peratus untuk dapat tempat dalam kesebelasan utama. Dalam tiga empat perlawanan terakhir, tiap-tiap sesi saya tukar kesebelasan utama, saya bagi semua peluang. Jadi, daripada situ dapat gambaran siapa yang betul-betul ada kualiti,” katanya.

Dalam pada itu, kapten Sri Pahang Mohammad Fadhli Shas menyifatkan perlawanan akhir kali ini sebagai detik istimewa dalam karier profesionalnya, kerana beliau pernah beraksi di pentas sama dengan JDT pada 2014.

Beliau berkata peluang untuk kembali ke perlawanan akhir adalah satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.

“Bagi saya, ini adalah antara pengalaman yang tak boleh dilupakan dalam karier bola sepak saya. Bermain di pentas final yang sama, tapi bersama dua pasukan berbeza. Dulu, pada 2014 saya wakil JDT.

“Sekarang, saya wakil Sri Pahang. Jadi, perasaan saya sangat teruja dan harap esok kami akan dapat beri yang terbaik,” kata pemain pertahanan berusia 34 tahun itu.

Sebagai rekod, kali terakhir Sri Pahang memenangi Piala Malaysia adalah pada musim 2014 dengan menewaskan JDT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di stadium sama, sekali gus meraih gelaran keempat mereka.

JDT pula dalam misi mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi gelaran triple treble selepas dinobatkan juara Piala FA dan merangkul kejuaraan Liga Super musim ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan