Oleh Farah Najihah Zuraimi
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Demi mempertahankan maruah negara daripada terus dipandang hina sebagai “pasukan badut” dalam Kejohanan Piala Asia Tenggara MLBB 2021, Muhammad Fauzi Ramli, 33, nekad mengubah nasib hidupnya dan kini muncul sebagai antara figura berpengaruh dalam arena e-sukan tempatan sebagai pencipta kandungan dan hos siaran langsung.
Bak kata pepatah, "tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu," perjalanan anak kelahiran Perak yang lebih dikenali sebagai Popopojie dalam dunia e-sukan bukanlah mudah, apatah lagi beliau pernah menjadi mangsa diskriminasi dan buli suatu ketika dahulu.
Menyifatkan dunia e-sukan sebagai ruang ‘bebas’, Popopojie melihatnya sebagai peluang untuk mengejar impian tanpa rasa terkongkong atau terkesan dengan pandangan negatif masyarakat.
“Saya mula kenal permainan dalam talian sekitar 2017. Pada mulanya, ibu saya skeptikal, katanya main permainan telefon hanya membuang masa dan tiada masa depan. Tapi ketika itu, saya nekad untuk buktikan bahawa dunia permainan juga ada nilai dan mampu dijadikan kerjaya.
“Namun perjalanan itu tidak mudah, sehinggalah kemanisannya hadir pada 2021. Ketika itu berlaku perbalahan antara pemain negara luar dan Malaysia. Saya tertanya-tanya, kenapa perlu hina? Selepas Malaysia menang satu pusingan, saya terus buat video dan tanpa disangka, video itu tular,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bekas penganalisis data di sebuah jenama sukan terkemuka itu berkata, sejak video tersebut tular, beliau mula menerima pelbagai tawaran dalam dunia e-sukan bermula dengan bayaran ratusan ringgit hinggalah ribuan ringgit.
Popopojie berkata detik itu menjadi titik tolak kepada peningkatan jumlah pengikutnya sehingga kini berjaya membina komuniti ratusan ribu pengikut yang aktif berinteraksi dengannya di alam maya.
“Saya pernah terlibat dalam satu acara selama seminggu dengan bayaran RM200. Tapi saya ambil pendekatan positif, memang jumlah itu kecil, namun saya jadikan ia peluang untuk berkenalan dengan lebih ramai individu yang berpotensi menjadi klien pada masa depan.
“Saya juga biasa tawarkan pelbagai nilai tambah yang mungkin orang lain tak sediakan. Tapi kalau ditanya secara jujur, memang ada masa saya rasa menyesal. Namun saya tahu, masih banyak impian saya dalam dunia e-sukan dan ia tentunya ambil masa,” katanya yang menjadikan pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad sebagai idola.
Baginya, sokongan keluarga terutama doa seorang ibu, Fauziah Ahmad, 76 adalah sumber kekuatan yang sentiasa mengiringinya dalam setiap kepayahan hidup kerana terlalu banyak pengorbanan telah dilakukan, dan berundur bukanlah pilihan.
Meskipun belum sepenuhnya berpuas hati dengan pencapaian sekarang, beliau tetap mahu melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan kerana yakin masih banyak yang boleh disumbangkan demi memajukan industri e-sukan negara.
Dalam masa sama, Popopojie berharap ibu bapa di luar sana dapat membuka ruang kepada anak-anak mereka untuk meneroka bidang ini, khususnya selepas e-sukan diwartakan sebagai sukan teras prestasi tinggi seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 14 April lepas.
Baginya, setiap individu memiliki kelebihan tersendiri kerana ada yang cemerlang secara akademik, ada pula yang bijak secara praktikal, Justeru ruang dan sokongan wajar diberikan bagi membantu mereka mengenal pasti minat sebenar.
“Generasi sekarang perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman. Jika minat diasah dengan betul, ia mampu meraih kejayaan luar biasa.
“Saya juga berharap e-sukan dapat diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum di sekolah kerana semua anak muda wajar diberi peluang untuk mencuba dan meneroka bidang ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial