KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Penganjuran Sukan Kidslympic Malaysia disasar dijadikan acara tahunan selepas mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 3,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun menyertai temasya itu tahun ini.
Pengasas bersama Kidslympic Malaysia, Goh Liu Ying berkata edisi kali ini menunjukkan peningkatan penyertaan berbanding penganjuran terdahulu yang hanya menarik sekitar 1,000 hingga 2,000 peserta.
Katanya pihak penganjur turun ke sekolah di seluruh negara untuk memaklumkan mengenai kewujudan platform sukan khas buat kanak-kanak bawah 12 tahun itu.
“Penyertaan kali ini lebih memberangsangkan. Selain promosi di sekolah, penganjuran program larian pratemasya di beberapa negeri turut membantu menarik minat lebih ramai peserta,” katanya ketika ditemui di Stadium Merdeka di sini, hari ini.
Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan pada temasya tahun ini membabitkan olahraga, bola sepak, bola keranjang, bola tampar, gimnastik dan cabaran halangan.
Liu Ying, yang juga bekas pemain badminton negara, berkata Selangor merekodkan penyertaan tertinggi setakat ini dan penganjur menyasar memperluas penganjuran acara larian ke negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan pada edisi akan datang.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Amir Hamzah Awang Ghazali menyatakan sokongan agar Kidslympic Games diteruskan sebagai acara tahunan selari sambutan Hari Sukan Negara (HSN).
“Kita tidak mahu ia sekadar program one-off. Kita mahu budaya sukan ini terus diperkasa dan pelbagai pihak boleh bersama menjayakannya, bukan hanya persatuan semata-mata,” katanya.
Terdahulu, Sukan Kidslympic Malaysia menerima geran padanan sukan bernilai RM60,000 daripada KBS bagi penganjuran tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial