SUKAN > BERITA

INSENTIF CUKAI PENDAPATAN 50 PERATUS GALAK PENGANJURAN SUKAN BERTARAF DUNIA - HANNAH

12/10/2025 04:48 PM

CYBERJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik inisiatif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus kepada syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, selaras dengan usaha merancakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 itu dijangka menarik lebih banyak penganjuran sukan antarabangsa di Malaysia, sekali gus memperkasakan sektor pelancongan dan sukan tempatan.

Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pengecualian cukai pendapatan 50 peratus ke atas syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa melibatkan peserta asing.

"Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi kerajaan memperkasakan insentif cukai kepada syarikat yang mahu menganjurkan pertandingan bukan sahaja dalam bidang kesenian dan pelancongan tetapi juga sukan.

"Mereka akan diberi pengecualian cukai pendapatan 50 peratus, satu jumlah yang signifikan berbanding sebelum ini yang hanya 10 peratus untuk penajaan," katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah acara Lazada Run di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata semua penganjur kejohanan sukan antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan daripada KBS bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak menganjurkan kejohanan antarabangsa tanpa kebenaran negara. Jika tidak memenuhi syarat seperti insurans atau permit pihak berkuasa tempatan, ia boleh menjejaskan imej Malaysia.

“Justeru, saya menyeru mana-mana syarikat atau persatuan sukan yang berhasrat menganjurkan kejohanan antarabangsa supaya mendapatkan kebenaran daripada KBS terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Hannah memaklumkan bahawa syarikat korporat yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) layak menerima pengecualian cukai 100 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan