PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Persiapan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand terus dilaksanakan secara rapi, dengan pelbagai aspek sedang diperkemas bagi memastikan pasukan negara bersedia sepenuhnya menjelang temasya berkenaan pada Disember ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata persiapan sedang diselaras Majlis Sukan Negara (MSN) dan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah turut melakukan lawatan ke kem latihan atlet bagi memastikan segala persediaan berjalan lancar.
“Sekarang ini, CDM iaitu Nurul Huda sedang melawat kem latihan untuk pastikan semua teratur dan kita ada satu CDM dan dua timbalan untuk bantu kerana kontinjen besar.
“Persiapan (Sukan SEA) rapi dan sekarang ini adalah jangka masa bagi mereka (atlet) kena perkasakan segala persiapan menuju (temasya pada) Disember,” kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Hannah berkata saiz kontinjen dan sasaran pingat pada temasya itu akan diumumkan kelak.
Beliau turut berharap semua atlet negara kekal cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan menjelang temasya dwitahunan itu.
“Harapan saya tidak ada (atlet) yang cedera. Bagi ahli sukan, yang paling saya takut ialah cedera kerana kalau cedera perlu fisioterapi dan semua itu mengambil masa,” katanya.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung pada 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Mengenai konvensyen, Hannah berkata konvensyen berkenaan membuka peluang kepada golongan wanita muda India untuk mendalami pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, kepimpinan dan sukan.
“Kita berharap (konvensyen) akan dibuat tahun depan supaya ada banyak lagi area yang kita dapat sentuh seperti keganasan rumah tangga, isu kekeluargaan, kanak-kanak, pembangunan belia. Semua ini kita akan wujudkan lebih banyak lagi.
“Menerusi forum dan sesi khusus ini, saya berharap tahun hadapan, apabila proses pengambilan penjawat awam dijalankan...permohonan golongan wanita India akan meningkat,” katanya.
Lebih 500 wanita muda India dari seluruh negara menghadiri konvensyen dianjurkan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) bertujuan memperkasakan beliawanis India melalui pendedahan kepada ilmu, kemahiran kepimpinan dan jaringan strategik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial