SUKAN > BERITA

ARIF AIMAN BERBESAR HATI TERSENARAI DALAM KALANGAN PEMAIN TERBAIK ASIA

16/10/2025 11:01 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bintang Harimau Malaya Arif Aiman Mohd Hanapi berbesar hati apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang tercalon untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 23 tahun itu menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu pencapaian penting serta suntikan motivasi untuk terus memperbaiki prestasi untuk kelab dan negara.

“Saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk kelab dan negara, dan saya teruja menjadi rakyat Malaysia pertama tercalon,” katanya seperti dipetik dalam portal the-AFC.com hari ini.

Turut tercalon ialah penyerang Qatar Akram Afif yang berpeluang muncul pemain pertama memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali, dan pemain Salem Al Dawsari yang berhasrat menjadi rakyat Arab Saudi pertama memenanginya sebanyak dua kali.

Sementara itu, Arif Aiman ialah calon kedua dari Asia Tenggara selepas Therdsak Chaiman dari Thailand yang pernah tercalon pada 2003.

“Ini hanyalah permulaan bagi saya. Saya perlu bekerja lebih keras dan menumpukan sepenuh usaha untuk berada pada tahap yang sama seperti Salem dan Akram.

"Saya akan menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk lebih bertanggungjawab (mencapai tahap terbaik),” kata pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) selama empat tahun berturut-turut itu.

Sementara itu, Afif yang memainkan peranan penting membantu Qatar melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 semalam, berkata kejayaan pasukan lebih penting berbanding pengiktirafan individu.

“Anugerah untuk pencapaian individu sememangnya istimewa, namun bagi saya kejayaan pasukan lebih bermakna. Banyak pemain hebat lain juga layak untuk menerima pengiktirafan ini.

"Andainya saya menang, ia ganjaran untuk semua yang bekerja bersama-sama saya, iaitu isteri, rakan sepasukan, jurulatih, penyokong setia yang tidak jemu memberikan sokongan, dan pastinya keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Salem yang turut berkongsi pandangan yang berkata: “Bagi saya, apa yang paling penting adalah pencapaian pasukan, dan kemudian barulah anugerah serta pengiktirafan individu.

"Andainya saya menang, kami akan meraikannya dan ia akan menjadi dorongan untuk melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.

Pemenang akan diumumkan pada Anugerah AFC 2025 di Riyadh, Arab Saudi pada esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan