SUKAN > BERITA

BARISAN PEMAIN ELIT MAMPU PULIHKAN MARUAH BADMINTON NEGARA DI SUKAN SEA - RASHID

16/10/2025 03:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Percaturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan barisan pemain elit pada Sukan SEA 2025 di Thailand Disember ini mampu mengembalikan maruah badminton negara selepas dihantui mimpi buruk pada edisi lepas.

Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata langkah menyenaraikan pemain utama antaranya dua juara dunia, iaitu beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meningkatkan peluang merangkul emas selepas sekadar meraih dua perak dan empat gangsa pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

“Peluang cerah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga atau empat emas. Sebelum ini (edisi 2023) kita pernah tewas kepada Filipina (berpasukan wanita) dan ini hakikat yang sukar diterima. Jika nak hantar, senaraikan barisan terkuat, baru berbaloi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rashid berkata Sukan SEA tetap memiliki prestij tersendiri dan atlet badminton negara sepatutnya merebut peluang mengibar cabaran kontinjen Malaysia pada temasya dwitahunan berkenaan.

Pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat itu pada masa sama mengakui cabaran yang bakal dihadapi wakil negara juga tidak mudah sekiranya negara lain seperti Indonesia dan tuan rumah menghantar pemain terbaik mereka ke Sukan SEA 2025.

“Walaupun hanya Sukan SEA, namun pemain di rantau Asia Tenggara bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata beraksi di Sukan SEA atau temasya sukan mempunyai makna besar buat pemain badminton dalam usaha berjuang mengumpul pingat emas untuk negara bersama atlet sukan lain.

Pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki tiga kali itu pada masa sama berkata penyenaraian barisan terkuat pada Sukan SEA 2025 berpotensi menaikkan imej Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sekiranya strategi membuahkan hasil memandangkan ini temasya sukan pertama di bawah kepimpinannya.

Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara menduduki kerusi nombor satu BAM selepas tidak dicabar pada sesi pemilihan yang dijalankan bersempena mesyuarat agung tahunan badan induk badminton negara ke-80, Mei lepas.

Selain Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei, BAM turut menyenaraikan naib juara beregu wanita dunia 2025 Pearly Tan-M. Thinaah selain perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan Justin Hoh serta perseorangan wanita K. Letshanaa dan Wong Ling Ching.

Pemain lain yang tersenarai adalah beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, dengan kesemua pemain lelaki dan wanita turut disenaraikan dalam acara berpasukan.

Mereka akan dibantu oleh Eogene Ewe dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi acara berpasukan lelaki manakala Siti Zulaikha Muhammad Azmi serta Eng Ler Qi dipilih menyertai acara berpasukan wanita.

Aaron-Wooi Yik sebelum ini merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina manakala Tang Jie juga pernah meraih pingat sama ketika bergandingan bersama Peck Yen Wei pada edisi 2021 di Vietnam.

Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung di tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Dis ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan