SUKAN > BERITA

SIVASANGARI TUMPAS KEPADA JUARA BERTAHAN DI FINAL TERBUKA SILICON VALLEY

16/10/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bintang skuasy wanita negara S. Sivasangari gagal merampas kejuaraan Terbuka Silicon Valley daripada pemain tuan rumah, Olivia Weaver dalam aksi di Redwood City, California, hari ini.

Pilihan ketiga kejohanan itu gagal menyaingi ketepatan dan kepantasan pemain Amerika Syarikat berusia 30 tahun yang menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan 12-10, 4-11, 11-4, 11-4 dalam masa 47 minit.

Pemain nombor lapan dunia itu turut melakukan beberapa kesilapan terutama dalam set pertama dan ketiga, sebelum Weaver terus menguasai permainan dan mendominasi gelanggang pada set keempat.

Setelah menewaskan pemain Amerika Syarikat Amanda Sobhy yang menduduki ranking nombor sembilan dunia dan pemain Mesir Salma Hany (nombor 15 dunia) dalam dua pusingan sebelumnya, harapan tinggi disandarkan kepada Sivasangari untuk merampas kejuaraan daripada Weaver.

Bagaimanapun, harapan berkenaan tidak kesampaian apabila juara bertahan itu yang merupakan pemain nombor lima dunia berjaya merangkul gelaran ke-11 dalam kariernya di Kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan