SUKAN > BERITA

PEMAIN MALAYSIA LEBIH BERKEMAHIRAN BERBANDING CHINA - KIM WAI

04/11/2025 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Penolong jurulatih beregu lelaki kebangsaan yang baru dilantik Chang Kim Wai percaya bahawa pemain beregu Malaysia, mempunyai kemahiran lebih tinggi berbanding pemain-pemain China, yang lebih banyak bergantung kepada kelajuan dan kekuatan dalam permainan mereka.

Jurulatih berusia 49 tahun itu, yang baru pulang daripada tugasan kejurulatihan di wilayah Guangxi, China, berkata kedua-dua negara memiliki kelebihan tersendiri, namun kelebihan Malaysia terletak pada kemahiran dan kreativiti pemain di gelanggang.

“Menurut pandangan saya, pemain kita lebih berkemahiran dan mantap daripada China. Sewaktu latihan tadi, pergerakan mereka juga baik dengan pukulan yang kreatif.

“Pemain di China pula lebih banyak menggunakan kelajuan dan kekuatan dalam permainan mereka,” katanya kepada pemberita pada hari pertama beliau memulakan tugas di sini, hari ini.

Baru sahaja kembali menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kim Wai mengakui beliau memerlukan masa untuk mengenali gaya dan karakter setiap pemain sebelum membuat penilaian lanjut.

Mengenai prospek beregu lelaki negara pada peringkat dunia, Chang Kim Wai berkata saingan kini semakin terbuka dan kompetitif, tanpa sebarang pasangan yang benar-benar mendominasi arena global.

“Sekarang tiada beregu yang sangat konsisten dan setiap kejohanan bergantung kepada beregu mana yang bermain dengan lebih baik.

“Jika dahulu, final dan naib juara hampir sama dua beregu setiap kali, sekarang tidak lagi. Memandangkan Malaysia mempunyai beberapa beregu lelaki dalam kelompok 10 terbaik dunia, peluang untuk merangkul kejuaraan lebih tinggi,” katanya.

Ketika ini, terdapat tiga beregu lelaki Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kedua); Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (keempat) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (kelima).

Kim Wai akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Herry Iman Pierngadi, serta Miftakh, bagi terus memperkukuh bahagian beregu lelaki negara.

Untuk rekod, bekas pemain kebangsaan itu pernah meraih pingat perak Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2002, serta menjadi anggota skuad Piala Thomas 2002 yang turut menamatkan saingan dengan pingat perak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan