KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah semakin menghampiri untuk merebut gelaran ketiga musim ini selepas mengesahkan slot ke pentas final Masters Jepun 2025 di Kumamoto, esok.
Pada aksi separuh akhir kejohanan Super 500 di Gimnasium Kumamoto Prefectural hari ini, selaku pilihan pertama Pearly-Thinaah mengambil masa 57 minit untuk mengetepikan beregu tuan rumah yang juga pilihan ketiga, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, 24-22, 23-21 sekali gus mara ke final ketujuh mereka musim ini.
Kejayaan itu turut menyaksikan naib juara Kejohanan Dunia 2025 berkenaan menambah baik rekod pertemuan ke atas Fukushima-Matsumoto kepada 5-1.
Gandingan nombor dua dunia itu bakal bertemu beregu tuan rumah yang juga pilihan keempat, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang membuat kejutan dengan menyingkirkan pilihan kedua dari Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong, 21-16, 21-11.
Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan beregu negara itu mempunyai kelebihan selepas mencatat enam kemenangan dalam lapan pertemuan setakat ini.
Pearly-Thinaah meraih gelaran pertama mereka tahun ini pada kejohanan Terbuka Thailand pada Mei, diikuti Terbuka Artik di Vantaa, Finland, bulan lepas.
Bagaimanapun, beregu lelaki profesional negara yang juga pilihan kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tersingkir apabila dikejutkan oleh pasangan tuan rumah yang bukan pilihan, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 12-21, 17-21, dalam masa 38 minit.
Pasangan Jepun itu akan bertemu sama ada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dari Taiwan pada pentas akhir esok.
Pada Januari lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin meraih satu-satunya gelaran musim ini selepas menewaskan Won Ho-Seung Jae, 21-15, 13-21, 21-16 pada Terbuka India 2025.
Usaha mereka memburu gelaran kedua tahun ini sekali lagi hampa apabila tewas 16-21, 17-21 kepada pasangan Korea Selatan itu pada final Terbuka Jepun 2025, Julai lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial