SUKAN > BERITA

DEAFLYMPICS 2025: 'KONNICHIWA' TOKYO, MERENTAS SATU ABAD KEGEMILANGAN ATLET PEKAK DUNIA

15/11/2025 07:05 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

TOKYO, 15 Nov (Bernama) -- Konnichiwa Tokyo!

Tokyo hari ini bukan sekadar membuka tirai sebuah temasya sukan, namun menjadi saksi sejarah apabila Jepun buat pertama kali menjadi tuan rumah Deaflympics dengan menandakan 100 tahun sejak temasya itu berlangsung buat komuniti atlet pekak dunia pada 1924.

Sebanyak 3,081 atlet dari 81 negara dan wilayah memenuhi Tokyo Metropolitan Gymnasium bukan sekadar untuk bertanding tetapi ‘mencetak’ nama sendiri untuk memastikan dunia terus ‘mendengar’ suara mereka.

Perarakan atlet dimulakan dengan montaj menyentuh hati diikuti kontinjen setiap negara yang melangkah dengan penuh wibawa dengan kontinjen pekak Malaysia berada di kedudukan ke-47, menampilkan 25 atlet bergaya dalam baju Melayu dan baju kurung berwarna pic dengan sentuhan biru menyerlahkan identiti dan keanggunan negara.

Ketua Kontinjen Mohd Yusri Abdul Ghani, Timbalan Ketua Kontinjen Jasmine Choo serta pembawa Jalur Gemilang Foo Zu Tung memimpin kontinjen Malaysia dengan penuh bangga. 

Suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran kerabat diraja Jepun menyaksikan sendiri kemeriahan temasya dan semangat juang atlet dengan ucapan rasmi disampaikan Presiden Persatuan Pekak Jepun Ishibashi Daigo, Gabenor Tokyo Yuriko Koike, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan Putera Mahkota Akishino bagi pihak diraja.

Detik paling bersejarah tiba apabila Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Sukan Untuk Orang Pekak (ICSD) Adam Kosa mengisytiharkan pembukaan rasmi Deaflympics 2025 diikuti masuknya bendera temasya dan lagu rasmi temasya dengan gerakan bahasa isyarat.

Obor simbolik dinyalakan oleh bekas atlet dan atlet terkini menghidupkan semangat pertandingan sementara semua atlet mengangkat ikrar disertai nyanyian lagu kebangsaan Jepun Kimigayo.

Acara seni bertemakan ‘One Day in 100 Years’ itu mempersembahkan budaya Jepun dengan penuh warna dan kreativiti memukau seluruh para hadirin.

Temasya kali ini menampilkan lebih 200 acara daripada 21 disiplin sukan termasuk olahraga, badminton, bola keranjang, bola tampar pantai, boling, berbasikal jalan raya, bola sepak, futsal, judo, karate, renang, taekwando, tenis dan gusti.

Malaysia menyasarkan tiga pingat emas dengan dua daripadanya dijangka daripada badminton (beregu wanita dan beregu campuran) dan satu lagi daripada tenpin boling. 

Kontinjen negara juga akan beraksi dalam olahraga dan karate dengan semangat tinggi mengekalkan pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, pada Deaflympics 2022 di Brazil, Malaysia membawa pulang dua pingat emas menerusi badminton beregu wanita dan tenpin boling berpasukan wanita. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan