KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil beberapa langkah bagi memperkukuh standard keselamatan dan kawal selia dalam permainan e-sukan, terutamanya bagi golongan bawah umur susulan insiden melibatkan golongan itu berkaitan dengan kandungan dalam talian, yang mencetuskan kebimbingan.
Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim berkata kementerian berhubung secara aktif dengan penerbit pemainan, pencipta kandungan dalam talian dan agensi berkaitan untuk memastikan langkah keselamatan yang lebih kukuh dilaksanakan.
Beliau berkata kementerian akan terus mengawal selia ekosistem dengan bertanggungjawab tanpa mengambil pendekatan regresif yang boleh menjejaskan pertumbuhan industri itu.
“Saya percaya sebahagian daripada anda telah melihat jawapan menteri, terutamanya di Parlimen yang menyatakan bahawa kita akan terus menangani segala isu mengikut keperluan dan tidak bersikap konservatif hingga mengambil langkah ke belakang.
“Tetapi secara asasnya, ini bermakna kita perlu mematuhi peraturan yang sedia ada, berbincang dengan semua pihak, dan memastikan bahawa pembangunan e-sukan, khususnya melibatkan golongan bawah umur, dilaksanakan secara teratur dan terkawal.
“Dan ini telah kita lakukan sejak sekian lama melalui pelbagai usaha dan inisiatif, termasuk Garis Panduan Pembangunan E-Sukan Kebangsaan yang telah memberikan kita hala tuju jelas mengenai bagaimana kita menangani, khususnya isu tingkah laku dan kesihatan mental dalam kalangan mereka terlibat dalam e-sukan dan segalanya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buletin impak sosial Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai buletin tersebut beliau berkata dapatan itu mengesahkan hala tuju yang diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta E-Sports Integrated (ESI) dalam memprofesionalkan dan mengawal selia industri tersebut.
Beliau berkata data itu juga menunjukkan e-sukan semakin diiktiraf sebagai penyumbang kepada pembangunan bakat, pembinaan komuniti dan ekonomi digital.
“Buletin ini bukan sekadar data terkini tetapi menandakan perkembangan baharu bagi e-sukan Malaysia. Ia bukan lagi sekadar hobi tetapi platform yang membentuk kerjaya, mengeratkan komuniti dan menyumbang kepada kebanggaan negara,” katanya.
Dalam pada itu, pada acara tersebut Malaysia akhirnya memperkenalkan skuad lelaki dan wanita Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bagi Kejohanan E-Sukan Dunia (WEC) IESF sekali gus menamatkan teka-teki menjelang perlawanan yang berlangsung di sini pada 1-7 Dis ini.
Skuad lelaki menampilkan Ealtond Rayner (Lolealz), Idreen Abdul Jamal (Momo) dan Zaed Hakimi Zaharan (Zahyed), Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish Rizwan (Stormie) dan Qayyum Ariffin Suhairi (Yums)
Pasukan itu akan diterajui ketua jurulatih Michael Bocado (Arcadia) yang dibantu Poon Kok Sing (OzaroVeki).
Sementara itu, skuad wanita MLBB juga telah disahkan, dengan NAVI MY yang telah menjuarai peringkat kelayakan kebangsaan memperoleh hak penuh bagi susunan pemain.
Barisan mereka terdiri daripada Qurratul Ain Nurfarisha Nizam (Shaa), Hanis Wahidah Dashuki (Hanie), Afrina Balqis Ibdhi Har Ali (Rina), Nurul Effa Fauzana Fauzi (Fafau) dan Nor Zulaikha Shahar (Yuki) di bawah bimbingan ketua jurulatih Faris Badrul Zaman (Aish).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial