ALOR SETAR, 7 Dis (Bernama) -- Kejohanan BDB Masters 2025 yang memasuki edisi ke-10 tahun ini terus mengukuhkan statusnya sebagai kejohanan golf amatur pilihan utama di Wilayah Utara.
BDB Masters 2025 yang cukup dinanti-dinantikan oleh peminat sukan golf itu berjaya menarik penyertaan lebih 150 peserta sepanjang tiga hari penganjuran bermula Jumaat lepas di Darulaman Golf and Country Club (DGCC) di Jitra.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) Che Abdul Khalid Md Din berkata acara itu mempunyai sejarah panjang sebagai kesinambungan daripada Darulaman Masters yang mula dianjurkan lebih 20 tahun lalu.
“Selepas sedekad penganjuran, BDB Masters kini berkembang menjadi satu jenama yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej korporat Kumpulan BDB. Kejohanan ini bukan sahaja mengukuhkan identiti sukan di bawah jenama BDB, malah sebagai simbol kecemerlangan, prestij dan penyatuan komuniti melalui sukan golf.
“Sepuluh tahun lalu, penyertaan hanya sekitar 80 pemain, kebanyakannya dari Kedah dan negeri-negeri berhampiran. Alhamdulillah, jumlah itu kini melonjak melebihi 150 peserta dengan lebih 80 peratus dari luar Kedah,” katanya dalam kenyataan.
Che Abdul Khalid berkata perkembangan itu sekali gus menunjukkan jenama BDB Masters berada pada kelas yang tersendiri.
“Kumpulan BDB komited untuk terus menawarkan kejohanan golf terbaik di Wilayah Utara, bukan saja melalui hadiah yang menarik, tetapi juga cabaran permainan yang mampu menarik minat peserta dari dalam dan luar negara pada masa hadapan.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, BDB Masters dipertandingkan dalam lima kategori iaitu Gross Open, Nett Open, Nett Intermediate, Senior Gross dan Senior Nett,” katanya.
Katanya, selain daripada hadiah keseluruhan, tarikan utama kejohanan itu juga adalah hadiah untuk pukulan ‘Hole in One’ iaitu dua kereta jenis Proton X70 dan Perodua Myvi yang berpeluang dimenangi para pemain pada hari kedua dan ketiga kejohanan.
Dalam kejohanan yang turut dihadiri Pengerusi BDB Pmgr. Sr. Che Had Dhali dan Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad Datuk Abdul Rahman Abdullah itu, Kall Danish, 23, dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas merekodkan 220 pukulan sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.
Kemampuannya untuk mengatasi pencabar terdekat itu melayakkan Kall membawa pulang hadiah keseluruhan iaitu wang tunai serta trofi kejuaraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial