SUKAN > BERITA

UNIMAP PERKENAL INSENTIF KEMENANGAN, PENGECUALIAN YURAN KOLEJ KEPADA ATLET WAKILI MALAYSIA

07/12/2025 08:17 PM

KANGAR, 7 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkenalkan insentif kemenangan dan pengecualian yuran kolej kepada atlet universiti itu yang mewakili negara dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dalam sukan kompetitif dan kejohanan lain bertaraf antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata insentif itu sebahagian daripada usaha universiti berkenaan untuk terus memperkukuh komitmen dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.

“Atlet UniMAP yang mewakili pasukan Malaysia bakal menerima insentif kemenangan mengikut pingat dimenangi selain pengecualian yuran kolej bagi atlet mewakili Malaysia dan MASUM dalam kejohanan kompetitif.

“Insentif dan pengecualian yuran kolej ini adalah tanda sokongan dan komitmen UniMAP dengan harapan lebih ramai atlet institusi pengajian tinggi awam khususnya dari UniMAP dapat mewakili negara pada masa akan datang. Sebelum ini UniMAP turut memperkenalkan Biasiswa Sukan UniMAP-Budaya Positif sebagai galakan kepada atlet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, UniMAP memaklumkan seorang pelajar universiti itu Nur Laili Idani Rosli bersama seorang staf universiti Nor Rinda Ramli dipilih mewakili Malaysia dalam acara woodball pada Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung di Thailand bulan ini.

Ketua Sekretariat Program Sukan Prestasi Tinggi (PSPT) UniMAP Nazmizan Muhammad turut terpilih sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA itu.

Nazmizan yang juga bekas pelari pecut negara dalam kenyataan itu berkata pemilihan berkenaan merupakan satu amanah besar bagi dirinya dan UniMAP. 

“Saya amat berbangga dengan sokongan padu universiti terhadap pembangunan atlet, bukan sahaja melalui insentif tetapi juga penyediaan peluang menyertai kejohanan berprestij. Harapan saya agar lebih ramai atlet muda UniMAP berani mencabar diri dan membawa nama universiti serta negara ke peringkat tertinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan