SUKAN > BERITA

2025: ISU PEMALSUAN DOKUMEN GONCANG FAM, PRESTASI HARIMAU MALAYA JADI PENYELAMAT

08/12/2025 10:42 AM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Musim 2025 akan diingati sebagai detik paling mencabar dalam sejarah bola sepak tanah air apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara didenda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Kemuncaknya pada malam 26 Sept apabila FIFA dalam kenyataan rasmi, mengesahkan FAM dan tujuh pemain - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Siasatan mendapati FAM menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan kesemua pemain itu sehingga membolehkan mereka tampil dengan kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam saingan Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini, Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000) dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat sekurang-kurangnya hukuman itu diringankan berkecai apabila Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan kesemua tujuh pemain pada 3 Nov sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib berhubung pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Bagaimanapun, FAM pada 18 Nov memaklumkan pihaknya akan memulakan proses untuk membawa kes dokumentasi tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi menegakkan keadilan dan mempertahankan integriti proses kelayakan pemain ditetapkan kerajaan serta badan berkaitan.

Implikasi daripada episod hitam itu mengundang reaksi pelbagai pihak dalam ekosistem bola sepak negara.

Beberapa penganalisis serta bekas pemain berpendapat bahawa kes berprofil tinggi itu bukan sekadar tamparan kepada integriti pentadbiran, malah ada menyifatkannya sebagai lebih parah berbanding skandal rasuah 1994 iaitu antara krisis terburuk pernah melanda bola sepak tempatan.

Rata-rata peminat pula mendesak reformasi menyeluruh dalam FAM, menuntut kepimpinan baharu, ketelusan dan akauntabiliti lebih ketat, selain langkah drastik untuk memulihkan reputasi badan induk itu, namun sebahagian lagi peminat mempertahankan FAM dan turut mempertikaikan tindakan FIFA.

Terdahulu, FAM turut mencuri perhatian apabila melantik bekas presidennya Tan Sri Hamidin Mohd Amin selaku Presiden Kehormat pada Jun dan peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai presiden pada hujung Ogos, kira-kira enam bulan selepas beliau menerajui badan induk itu.

Namun, di sebalik episod malap, ada cahaya di hujung terowong. Isu di luar padang yang timbul tidak menjejaskan rentak skuad Harimau Malaya yang menutup tirai perlawanan tahun ini dengan rekod tanpa kalah.

Pasukan kendalian Peter Cklamovski itu merekodkan tujuh kemenangan dan satu seri masing-masing dalam aksi persahabatan antarabangsa dan perlawanan pusingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Momentum cemerlang itu membolehkan Malaysia kini mendahului saingan Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 selepas mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam lima perlawanan dengan satu lagi aksi berbaki menentang Vietnam pada Mac tahun depan.

Skuad negara membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada Mac sebelum melakar kejutan menundukkan Vietnam 4-0. Rentak itu diteruskan dengan kemenangan berganda 3-0 dan 5-1 ke atas Laos bulan lepas, sebelum kembali menumpaskan Nepal 1-0 pada aksi bulan ini.

Malaysia turut menampilkan prestasi positif apabila ranking dunia negara melonjak ke tangga ke-116 iaitu kedudukan terbaik dalam tempoh 20 tahun.

Sementara itu, persoalan mengenai kemampuan dan kemajuan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan di bawah kendalian Mohd Nafuzi Zain terus berlegar selepas pasukan negara gagal mengukir kejayaan membanggakan.

Anak buah Mohd Nafuzi terkandas di peringkat kumpulan Kejohanan B-23 ASEAN di Indonesia pada Julai sebelum gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 setelah kecundang pada saingan Kumpulan F pusingan kelayakan di Thailand pada September.

Bekas pengendali Terengganu FC dan pasukannya kini berdepan satu lagi tugasan getir pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual bermula bulan ini (Disember) dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos.

Sementara itu, di pentas domestik, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Malaysia 2025/26 dengan bergaya apabila mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Selangor FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor pada Ogos.

Skuad Harimau Selatan menjadi pilihan untuk muncul juara Liga Super musim ini sekali gus merangkul kejuaraan ke-12 berturut-turut selepas jauh meninggalkan pencabar lain di puncak liga ketika ini, selain turut berada di landasan tepat dalam memburu gelaran Piala FA.

Secara tuntas, tahun 2025 meninggalkan kesan mendalam terhadap landskap bola sepak negara selepas FAM terpalit dalam isu pemalsuan dokumen.

Walaupun FAM berusaha membawa kes itu ke CAS, desakan terhadap reformasi dan pembaharuan dalaman terus bergema dalam kalangan penganalisis sukan serta peminat.

Bagaimanapun, di sebalik kemelut pentadbiran itu, prestasi skuad Harimau Malaya sekurang-kurangnya menyuntik keyakinan bahawa bola sepak negara masih memiliki hala tuju positif meskipun cabaran di luar padang masih perlu ditangani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan