Oleh Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Pemain beregu wanita utama negara M. Thinaah mengakui Sukan SEA tetap mempunyai signifikan tersendiri meskipun beliau pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik dan bersaing dengan barisan pemain elit dalam Jelajah Dunia.
Thinaah yang bakal membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan edisi 2025 di Thailand bersama pasangannya Pearly Tan berkata setiap kejohanan menuntut tahap tumpuan dan komitmen yang sama tanpa mengira statusnya.
Meskipun sudah merasai kehangatan kejohanan bertaraf elit, pemain berusia 27 tahun itu berkata penghormatan mewakili Malaysia tetap tidak berubah, dengan satu-satunya matlamat beliau adalah memberikan segala-galanya di gelanggang sepanjang kempen Sukan SEA.
“Tidak kira sama ada anda bermain dalam kejohanan Jelajah Dunia, Sukan Olimpik atau Sukan Asia tetapi ini juga adalah satu kejohanan besar bagi kami.
“Untuk berada pada Sukan SEA ini adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi kami. Jadi, kami hanya mahu melakukan yang terbaik dan tidak meninggalkan sebarang kekesalan di gelanggang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, gandingan nombor dua dunia dan naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu terpaksa berhempas-pulas untuk menewaskan pasangan nombor 58 dunia Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-14, 17-21, 21-16 untuk menghadiahkan mata pertama dan menyamakan kedudukan 1-1 menentang Indonesia dalam aksi separuh akhir acara berpasukan wanita.
Malaysia bagaimanapun terlepas slot ke final selepas pemain nombor 76 dunia Indonesia Mutiara Ayu Puspitasari menghadiahkan mata kemenangan pada perlawanan penentuan, menewaskan Siti Zulaikha Muhammad Azmi 21-18, 21-16 di Gimnasium 4, Kampus Rangsit Universiti Thammasat.
Kali terakhir Malaysia mara ke final ialah ketika menjadi tuan rumah edisi 2017 sebelum tewas kepada Thailand 1-3.
Pingat emas terakhir yang dimenangi pula adalah pada edisi 2009 di Laos selepas menewaskan Indonesia 3-1.
Sukan SEA 2025 di Thailand akan membuka tirai secara rasminya esok, dan berlangsung sehingga 20 Dis ini di dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial