Oleh Abdul Razak Abd Manaf
Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan pelbagai berita negatif berkaitan pelajar sekolah dan remaja.
Isu-isu pelajar dan remaja seperti ponteng sekolah, buli, penyalahgunaan dadah, merempit, kehamilan luar nikah dan pelbagai tingkah laku menyimpang semakin membimbangkan masyarakat Malaysia.
Dalam usaha menangani masalah ini, institusi pendidikan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Salah satu usaha berkesan ialah dengan melibatkan pekerja sosial sekolah, khususnya melalui pendekatan lawatan ke rumah yang holistik dan berasaskan budaya tempatan.
Banyak inisiatif dan usaha telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani pelbagai gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja.
Dalam konteks ini, Malaysia sangat memerlukan pekerja sosial sekolah kerana mereka memainkan peranan penting dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh pelajar dan remaja.
Dalam konteks negara ini, banyak pelajar berdepan dengan cabaran seperti tekanan keluarga, kesihatan mental, kemiskinan, serta pengaruh sosial yang negatif.
Pekerja sosial berupaya untuk mengenal pasti punca masalah melalui pendekatan yang menyeluruh dan menyediakan intervensi yang bersesuaian seperti sesi kaunseling, lawatan ke rumah, dan rujukan kepada agensi berkaitan.
Tambahan pula, pekerja sosial juga membantu menghubungkan pihak sekolah dengan ibu bapa dan komuniti, membina jaringan sokongan yang mampan.
Dengan kepelbagaian latar belakang budaya dan sosioekonomi di Malaysia, kehadiran pekerja sosial sekolah adalah sangat kritikal dalam memastikan setiap pelajar mendapat sokongan emosi, sosial dan pendidikan yang mencukupi, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih sihat dan sejahtera.
Peranan dan Tugas Pekerja Sosial Sekolah
Jika diteliti secara terperinci, pekerja sosial sekolah menjalankan pelbagai peranan dan tugas penting, antaranya:
Kesemua peranan ini menjadikan pekerja sosial sebagai aset penting dalam ekosistem pendidikan negara. Tambahan pula, pekerja sosial menjadikan lawatan ke rumah sebagai elemen penting dalam menangani pelbagai isu remaja yang berlaku.
Secara umumnya, lawatan ke rumah merupakan satu pendekatan intervensi sosial yang membolehkan pekerja sosial memahami persekitaran kehidupan pelajar secara langsung.
Melalui lawatan ini, pekerja sosial dapat melihat sendiri faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah pelajar seperti konflik keluarga, kemiskinan, pengabaian atau pengaruh rakan sebaya.
Konsep ini berakar daripada prinsip kerja sosial yang menekankan pendekatan berpusatkan klien dan pemahaman menyeluruh terhadap konteks sosial individu.
Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kaya dengan nilai kekeluargaan, pendekatan lawatan ke rumah sangat bertepatan dan boleh membantu pihak sekolah merungkai isu pelajar sekolah atau remaja yang bermasalah.
Ia menggambarkan keprihatinan institusi pendidikan terhadap kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
Kehadiran pekerja sosial ke rumah juga dilihat sebagai tanda penghormatan dan usaha memahami masalah dari akar umbi tanpa prejudis.
Dalam budaya timur, hubungan dan komunikasi bersemuka masih dianggap penting dalam menyelesaikan isu sosial terutamanya dalam kalangan pelajar dan remaja.
Terdapat beberapa sebab utama mengapa lawatan ke rumah menjadi penting dalam konteks intervensi sekolah:
Berhubungan dengan perkara di atas, pekerja sosial sekolah memainkan pelbagai peranan penting dalam melaksanakan lawatan ke rumah, antaranya:
Secara kesimpulannya, peranan pekerja sosial sekolah sangat kritikal dalam menangani pelbagai isu remaja di Malaysia.
Pendekatan lawatan ke rumah bukan sahaja membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam, tetapi juga mewujudkan hubungan yang kukuh antara sekolah dan keluarga.
Dalam jangka panjang, ia membantu membina persekitaran sekolah yang lebih sihat, inklusif dan sejahtera. Justeru, pelaburan terhadap perkhidmatan kerja sosial di sekolah wajar dipertingkatkan demi masa depan generasi muda negara.
Melihat kepada pelbagai peranan signifikan pekerja sosial di sekolah serta impak positif pendekatan seperti lawatan ke rumah, sudah tiba masanya pihak berkuasa dan pembuat dasar di negara ini mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan perjawatan tetap bagi pekerja sosial di setiap sekolah.
Justeru, masyarakat dan pihak pembuat dasar harus membuka mata terhadap keperluan ini.
Dengan mewujudkan perjawatan tetap pekerja sosial sekolah, Malaysia bukan sahaja dapat menangani isu-isu remaja dengan lebih berkesan, tetapi juga membentuk sistem pendidikan yang lebih penyayang, inklusif dan lestari.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Abdul Razak Abd Manaf ialah Pensyarah Program Kerja Sosial, Sekolah Psikologi Gunaan, Kerja Sosial & Dasar (SAPSP), Universiti Utara Malaysia.