WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR AKAN UNDANG PRESIDEN CHINA XI JINPING HADIRI SIDANG KEMUNCAK ASEAN 2025

07/11/2024 08:08 PM

Oleh Massita Ahmad

BEIJING, 7 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengundang  Presiden China Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada tahun depan. 

Undangan ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Perkara ini disahkan Perdana Menteri ketika sidang media di sini pada Khamis sempena lawatan kerja  beliau ke China.

Perdana Menteri yang kini berada di Beijing selama dua hari bermula 6 Nov, dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi petang ini.

“Saya berharap beliau datang kerana dia menganggap Malaysia sebagai kawan yang hebat, Jadi saya rasa pemimpin seperti Presiden Xi Jinping perlu mempertimbangkan komitmennya juga  secara domestik dan antarabangsa,” katanya.

Mengulas tentang hubungan Malaysia dan China yang semakin erat, Anwar berkata ia tidak bermaksud Malaysia menyebelahi mana-mana pihak termasuk dalam urusan hubungan kepimpinan serta pelaburan dan perdagangan.

Perdana Menteri, bagaimanapun berkata selain urusan perdagangan, China mempunyai pendirian yang lebih dekat dengan Malaysia berbanding kebanyakan negara lain termasuk situasi di Gaza.

“Kita ambil sikap yang sederhana. Maknanya pertengahan, ada hubungan dengan baik. Negara China itu sambutan sangat akrab dan dianggap kita ini sebagai kawan, jadi banyak-banyak hal seperti BRICS, kerjasama dua hala, MoU (Memorandum Persefahaman)  perdagangan itu diberikan perhatian. 

“Banyak orang mengatakan kita ni memihak tetapi tidak, banyak-banyak isu yang kita bincang kerana soal Gaza, pendirian China lebih dekat dengan kita berbanding kebanyakan negara lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan