Kilauan sinaran mentari pagi di permukaan Teluk Parsi memantulkan kehangatannya ke wajah penulis, memberi bayangan bahawa pelayaran itu bakal menjadi pengalaman sekali seumur hidup bagi seseorang yang jarang sekali meneroka jauh dari Kuala Lumpur, metropolitan yang juga kampung halaman penulis.
Meninggalkan terminal Port Rashid di sini pada 31 Okt, penulis memulakan pengembaraan penuh keajaiban merentasi Teluk Parsi menaiki kapal persiar Resorts World One milik Resorts World Cruises (RWC), operator pelayaran mewah berpangkalan di Singapura, selepas usai pelancaran yang turut dihadiri Presiden RWC Michael Goh.
Penulis bersama-sama tiga lagi wakil media Malaysia, diundang oleh RWC untuk menyertai pelayaran sulungnya di Teluk Parsi, pengembaraan selama seminggu meneroka keindahan beberapa destinasi di perairan berkenaan.
Kapal persiar berkapasiti 1,800 penumpang itu dilengkapi 926 kabin pelbagai jenis termasuk suite mewah dinamakan “The Palace”.
Sepanjang pelayaran sejauh 6,465 kilometer itu, kami melawat kawasan perlindungan hidupan liar di Pulau Sir Bani Yas, Abu Dhabi serta Khasab dan Muscat di Oman, dua bandar pinggir pantai yang amat indah.
Perjalanan kami bermula ketika rantau berkenaan di awal musim sejuk dengan suhu 31 darjah Celsius pada sebelah siang dan 19 darjah Celsius di malam hari, sekali gus menyediakan suasana yang sempurna untuk kegiatan di luar.
TRADISI BERTEMBUNG KEMODENAN
Malah, kami dibawa meneroka Dubai sebelum pelayaran bermula, menghabiskan waktu senja di perkarangan bangunan tertinggi dunia Burj Khalifa, bersama-sama ribuan pengunjung lain menyaksikan pertunjukan air pancut yang bermula pada 7 malam waktu tempatan.
pic-3
Memetik ungkapan lazim penduduk tempatan, “Masya-Allah, habibi!” indahnya pemandangan itu.
Keesokannya, dari anjung tinjau Burj Khalifa di tingkat 148 - aras tertinggi dibenarkan akses kepada orang awam - sukar untuk digambarkan perasaan dan kekaguman kami tatkala menyaksikan hamparan hutan konkrit yang tersusun rapi, dikelilingi gemerlapan air laut Teluk Parsi, nun sayup di bawah.
Pada sebelah petang, kami ke Sheikh Mohammed Centre for Cultural Understanding di Daerah Bersejarah Al Fahidi berdekatan Old Souq, iaitu pasar lama Dubai, untuk mendekati warga setempat di rumah mereka.
Kediaman penduduk di sini yang berhalaman luas, dibina daripada batu karang, bahan unik tempatan yang merupakan penebat haba semula jadi, berperanan menangani bahang cuaca panas terik Dubai.
Ketibaan kami disambut dengan hidangan kopi Arab dan kurma, disusuli hidangan tengah hari menu Emirati atau tempatan. Ada satu amalan yang menarik perhatian penulis semasa kunjungan tersebut, iaitu “Sabbat Al-Heshma” atau tradisi menghidangkan kopi.
Melalui tradisi ini, tuan rumah tidak harus menuang kopi hingga memenuhi cawan, sebaliknya hanya separas satu pertiga. Kopi yang dituang memenuhi cawan bermakna tetamu tidak dialu-alukan, justeru dia perlu menghabiskan minumannya dengan segera dan beredar.
HIDUPAN LIAR
Hari berikutnya, kapal berlabuh di Pulau Sir Bani Yas, di mana kami menaiki jip untuk melihat hidupan liar di pulau berkenaan, satu daripada program utama pelayaran Resorts World One.
Pakej kembara di pulau ini dikenakan caj tambahan dan penumpang boleh memilih sama ada hendak menyertainya ataupun tidak. Namun, pengalaman yang dilalui di pulau ini sepadan dengan bayaran yang dikenakan.
Bagi yang memilih tidak menyertai kembara hidupan liar itu, mereka boleh menggunakan peluang tersebut untuk bersantai dan memanfaatkan fasiliti kelas pertama di atas Resorts World One.
Pulau Sir Bani Yas dibangunkan sebagai rizab semula jadi oleh pengasas Emiriah Arab Bersatu Sheikh Zayed Al Nahyan pada 1970-an. Hari ini, jumlah haiwan liar di pulau itu jauh mengatasi bilangan penduduk - hanya 37 orang bagi setiap kilometer persegi berbanding lebih 17,000 ekor hidupan liar yang bebas berkeliaran.
pic-4
Sukar untuk digambarkan keterujaan dapat melihat secara dekat gazel India, zirafah, kuda belang, emu dan pelbagai lagi haiwan yang dibiarkan bebas di habitat asal mereka. Pengalaman itu merupakan kemuncak keseronokan penulis pada hari berkenaan.
Kami kemudian bersiar-siar di sepanjang pantai berpasir putih yang halus, menuju ke kapal dan bersedia untuk kembali ke Dubai.
NORWAY OF ARABIA
Hari keenam perjalanan, penulis bangun tidur di “Norway of Arabia” - bandar pelabuhan Khasab di Oman - dengan banjaran gunung bertemu kehijauan air laut pinggir pantai Musandam menyambut pandangan mata.
Turun dari kapal, kami menaiki bas untuk melawat Khasab Fort, struktur bersejarah yang dibina pada abad ke-17 dan pernah menjadi kubu tentera terpenting negara, sebelum pemandu pelancong membawa kami melalui jalan berliku ke sebuah perkampungan nelayan lama, jauh di Musandam.
Betapa kerdilnya diri ini dirasakan apabila berdiri di tengah-tengah kampung yang dikelilingi banjaran gunung itu, satu pemandangan indah sukar dilupakan.
pic-2
Kemudian tiba saat yang ditunggu-tunggu pada hari itu apabila kami dibawa menaiki perahu layar tradisional ke tengah laut dengan harapan dapat menyaksikan ikan lumba-lumba berhampiran perairan Pulau Telegraph.
“Wooot... wooot!” siul pemandu pelancong, memanggil ikan lumba-lumba, dan bagaikan silap mata sekumpulan mamalia marin itu berenang membelah laut ke arah kami, memercikkan air ke udara seolah-olah membuat pertunjukan untuk kami.
Ketika kami asyik menikmati hidangan tengah hari menu Arab di atas bot itu, seekor daripada ikan lumba-lumba berkenaan menunjukkan ketangkasan meluncur sambil memusingkan badan di permukaan air.
MASJID, PASAR DAN KENANGAN
Kapal kami tiba di Muscat, ibu kota Oman pada keesokan pagi, berlabuh di Pelabuhan Sultan Qaboos berhampiran Muttrah Souq, satu kawasan yang terkenal dengan keindahan pemandangan pinggir laut.
Kami kemudian menaiki koc dan tempat persinggahan pertama kami ialah Masjid Sultan Qaboos di Sultan Qaboos Street, iaitu lebuh raya utama di ibu kota itu.
Setiap bahagian masjid itu direka bentuk dengan teliti, daripada karpet persia buatan tangan kepada pintu gerbang berbatu marmar, kesemua bahan dipilih dengan agenda memastikan bangunan tersebut kekal sejuk di sebalik iklim panas kering Muscat.
Selepas itu, kami dijamu dengan secawan kopi Arab yang pekat serta kurma sambil mendengar taklimat tentang kebudayaan Islam dan tradisi masyarakat Oman di pusat maklumat masjid tersebut.
Kemudian, kami singgah di Royal Opera House sebelum ke Muttrah Souq untuk membeli cenderahati. Aroma setanggi memenuhi udara di pasar itu, sambil kami meninjau-ninjau barangan yang sesuai untuk dibeli sebagai tanda kenangan.
Bagi rakyat Oman, setanggi bukan sekadar haruman, tetapi aspek penting dalam kehidupan seharian, digunakan dalam ritual harian di rumah dan juga semasa majlis keagamaan.
Perjalanan balik ke Dubai dari Muscat mengambil masa 20 jam, dan kami menghabiskan jam-jam terakhir pelayaran dengan makan dan bersantai di atas dek sambil menikmati pemandangan samudera yang terbentang luas.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pakej pelayaran ini boleh layari www.rwcruises.com atau e-mel ke reservations.en@rwcruises.com.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial