LABUAN, 8 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu akan beroperasi semula pada 15 Dis ini selepas hampir tiga tahun dihentikan susulan pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, yang mengesahkan perkara itu, berkata ia merupakan peristiwa penting dalam langkah meningkatkan sistem perhubungan di pulau bebas cukai ini.
Sebelum ini, perkhidmatan itu sangat popular namun operasinya terpaksa dihentikan kerana kurang mendapat sambutan ketika penularan COVID-19.
Beliau berkata pengoperasian semula perkhidmatan feri ekspres dijangka mengeratkan hubungan antara Labuan dengan tanah besar Sabah bagi menangani masalah kesalinghubungan yang telah lama wujud.
“Kami tidak akan mengabaikan keperluan Labuan untuk meningkatkan sistem perhubungan... usaha ini penting bukan sahaja untuk komuniti setempat tetapi juga bagi meningkatkan bilangan pelawat,” katanya semasa temu bual eksklusif dengan Bernama sempena setahun memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.
Dr Zaliha berkata perkhidmatan itu berpotensi merancakkan semula sektor pelancongan sekali gus menggalakkan agensi industri itu menawarkan pakej merangkumi Sabah dan Labuan.
“Sistem perhubungan yang dipertingkat dijangka menarik lebih ramai pelawat dan merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah ini,” katanya.
Beliau berkata sebagai tambahan kepada penyambungan semula perkhidmatan itu, kerajaan merancang meluaskan diskaun 50 peratus perjalanan yang kini tersedia untuk penumpang dan terminal feri roll-on roll-off (RoRo) kepada mereka yang menggunakan feri ekspres.
“Kami tidak nampak sebarang isu dalam pemberian subsidi yang sama dengan diskaun 50 peratus kepada pengguna feri ekspres," katanya sambil menekankan komitmen untuk meringankan kos perjalanan penumpang.
Dr Zaliha juga berkata penyambungan perkhidmatan itu selaras dengan strategi kerajaan yang lebih luas untuk menyokong industri tempatan dan komuniti yang menggunakan laluan Labuan-Kota Kinabalu-Labuan.
“Dengan menangani jurang kesalinghubungan dan mempromosi pelancongan serantau, inisiatif itu dijangka membuka jalan kepada aliran ekonomi untuk Labuan dan kawasan sekitar," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial