WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANWAR ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA AHLI PARLIMEN SOKONG RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2025

04/03/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang memberi dukungan penuh kepada Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata pindaan itu menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara, serta membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi dengan lebih bebas.

Beliau berkata pindaan itu juga menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara.

“Dengan dukungan penuh dua pertiga Ahli Parlimen, ternyata ia adalah bukti nyata betapa kukuh dan stabil Kerajaan MADANI pimpinan YAB Perdana Menteri,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri juga menyifatkan tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong pindaan itu, telah mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen.

“Namun ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.

Pindaan Rang Undang-undang itu mendapat sokongan 148 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga ketika undi belah bahagian dilakukan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata 17 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 57 wakil rakyat tidak mengundi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan