WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ARAH KPDN PASTIKAN BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN MENCUKUPI SEPANJANG RAMADAN, AIDILFITRI

04/03/2025 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri turut mengarahkan KPDN untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.

“Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sekiranya terdapat gangguan bekalan,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul memaklumkan Perdana Menteri turut mahu KPDN lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, termasuk barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.

Selain itu, beliau berkata Anwar juga mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkat, bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.

“YAB Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.

“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan