WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN PERLU MANFAATKAN RCEP, FTA TANGANI RISIKO EKONOMI DARIPADA TARIF AS

11/03/2025 10:34 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- ASEAN perlu mengoptimumkan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN+1 yang dinaik taraf untuk mengurangkan risiko ketidaktentuan ekonomi akibat daripada pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS). 

Kedutaan Indonesia, bagi pihak kementerian hal ehwal luar negerinya berkata ASEAN perlu juga memperluaskan kepelbagaian perdagangan melangkaui rakan tradisional untuk meningkatkan daya tahan ekonomi.

“Mengukuhkan penglibatan ekonomi dengan Amerika Syarikat (AS) melalui inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) dan rangka kerja Expanded Economic Engagement (E3) adalah penting.

“Dengan memfokuskan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi hijau dan perkhidmatan digital, ASEAN boleh memperdalam kerjasama ekonominya dengan AS sambil menggalakkan pertumbuhan yang mampan,” kata kedutaan itu kepada Bernama.

Selain itu, kedutaan tersebut berkata usaha menangani tekanan inflasi dan risiko berkaitan iklim melalui peralihan dan pelaburan hijau akan menjadi langkah yang penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing jangka panjang dalam persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu.

 

Impak Tarif AS

 

Kedutaan itu berpandangan tarif AS boleh memberi implikasi ketara terhadap ekonomi ASEAN sekiranya ia dikenakan ke atas negara-negara di rantau ini memandangkan hubungan kukuh ASEAN dengan ekonomi nombor satu dunia itu.

Bagaimanapun, katanya, tarif yang lebih tinggi ke atas barangan China mungkin juga boleh menggalakkan perniagaan mempelbagaikan rantaian bekalan mereka, yang seterusnya berpotensi mengukuhkan peranan ASEAN sebagai hab perdagangan dan pelaburan utama bagi AS.

“AS merupakan antara tiga pasaran eksport utama bagi hampir semua Negara Anggota ASEAN (AMS), kecuali Laos dan sebagai satu blok, ASEAN menyumbang US$365.7 bilion (US$1= RM4.42) atau 11.5 peratus daripada jumlah import AS tahun lepas.

“Unjuran tambahan kira-kira US$640 bilion terhadap kos pengimportan barangan daripada sepuluh rakan import utama AS mungkin boleh memberi cabaran dan juga menyediakan peluang kepada ASEAN.” kata kedutaan itu.

Analisis dijalankan oleh Boston Consulting Group baru-baru ini menganggarkan bahawa berdasarkan tahap import AS 2023, tarif 60 peratus ke atas barangan China, tarif 25 peratus terhadap Kanada dan Mexico serta tarif 20 peratus ke atas import dari negara lain boleh menambah US$640 bilion kepada kos import AS.

Kedutaan juga bimbang bahawa AS mungkin cuba mengurangkan defisit perdagangannya dengan ekonomi ASEAN yang berpotensi mengehadkan keuntungan daripada peningkatan eksport.

“Selain itu, ketegangan perdagangan yang berpanjangan menyebabkan ketidaktentuan ekonomi, ia boleh menghalang pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini.

“Perniagaan yang menghadapi ketidakpastian dalam dasar perdagangan mungkin teragak-agak untuk melakukan pelaburan jangka panjang sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perindustrian ASEAN,” katanya.

Bagaimanapun, ia berkata peningkatan bahagian rantau ini dalam import AS menunjukkan daya saing dan integrasinya ke dalam rantaian bekalan global yang meletakkan ASEAN sebagai alternatif berdaya maju bagi syarikat yang mahu mengurangkan pergantungan kepada China.

 

Komuniti Ekonomi ASEAN

 

Kedutaan itu percaya bahawa ASEAN sebahagian besarnya telah mencapai Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) kerana blok itu kini merupakan antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia.

"Melihat di mana kita berada sekarang, saya berpendapat kita telah mencapai sebahagian besar visi kita," katanya.

Memetik maklumat daripada Asian Development Bank, kedutaan itu berkata prospek pertumbuhan Asia Tenggara pada 2024 meningkat kepada 4.7 peratus daripada 4.5 peratus, didorong oleh eksport pembuatan dan perbelanjaan modal awam yang lebih kukuh.

Ia menyatakan bahawa pertumbuhan itu berlaku dalam persekitaran kelembapan global yang diunjurkan pada 3.1 peratus, menunjukkan daya tahan rantau ini terhadap kejutan ekonomi termasuk pandemik COVID-19.

“Semasa pandemik, ASEAN dengan pantas membangunkan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), meneraju rantau ini melalui pemulihan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Sepanjang 10 tahun lepas, ASEAN telah mengukuhkan kerjasama perdagangan dan pelaburan menerusi RCEP, iaitu FTA terbesar di dunia di samping menangani isu-isu baharu.

Menurutnya ekonomi hijau, ekonomi biru, ekonomi digital dan ekonomi kreatif menjadi keutamaan pada masa ini.

“Melangkah ke hadapan, ASEAN perlu terus mengenal pasti cabaran global untuk membangunkan strategi bagi mencapai Wawasan ASEAN 2045 -- ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat,” menurut kedutaan itu.

Mengulas mengenai Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 yang diadakan baru-baru ini, katanya, keutamaan Indonesia semasa acara itu tertumpu kepada pengukuhan integrasi ekonomi ASEAN, memperdalam kerjasama perdagangan dan memajukan pembangunan mampan di rantau ini.

“Memandangkan kepusatan ASEAN berperanan penting dalam integrasi ekonomi serantau, Indonesia giat mempromosikan dan mendukung prinsip ini bagi meningkatkan daya tahan ekonomi di tengah-tengah ketegangan geopolitik global.

“Indonesia gembira memandangkan permukiman itu memberikan kemajuan yang ketara dalam bidang utama seperti transformasi digital, peralihan tenaga hijau dan kesalinghubungan infrastruktur,” katanya.

Selain itu, menurut Kedutaan Indonesia, negara berkenaan komited untuk memperkukuh pelaksanaan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dengan memanfaatkan perkongsian awam-swasta dan memupuk kerjasama yang lebih teguh dengan Rakan Kongsi Dialog.

Sejajar dengan Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) Malaysia, Indonesia menyokong fokus permukiman itu terhadap kemudahan perdagangan, promosi pelaburan dan daya tahan rantaian bekalan serta usaha untuk memperkukuh peranan ASEAN dalam membentuk aliran ekonomi global, katanya.

Permukiman AEM ke-31 yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diadakan di Desaru, Johor pada 22 hingga 28 Feb 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan