MELAKA, 14 Mac -- Seramai 225 peniaga secara sukarela telah mendaftar dan menawarkan Menu Rahmah sempena pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Melaka pada tahun ini, kata Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.
Beliau berkata terdapat tiga lokasi BRR di Melaka iaitu Taman Seri Duyong, Jasin Bestari dan Pekan Alor Gajah.
"Pemilihan kawasan BRR itu adalah berdasarkan kepada tumpuan rakyat berbelanja dan lokaliti aktiviti ekonomi serta bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan penyediaan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.
"Penglibatan peniaga bazar dengan berkonsepkan secara sukarela ini adalah melalui penyediaan makanan atau juadah berbuka puasa yang ditawarkan dengan kadar harga RM5 dan ke bawah," katanya kepada pemberita di Duyong di sini hari ini.
Terdahulu, Seah merasmikan majlis Pelancaran BBR 2025 peringkat negeri yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Rohaimi Mohamed Zawawi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai menu ditawarkan seperti nasi tomato, nasi campur, martabak, nasi ayama serta mi goreng dan memaklumkan Ramadan tahun ini juga mencatatkan peningkatan penglibatan peniaga bagi inisiatif Menu Rahmah.
Seah juga berkata setakat hari ini, pihak KPDN Melaka masih tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai harga makanan di bazar Ramadan manakala pada tahun lepas, sebanyak enam aduan diterima.
Beliau berkata pada tahun ini, Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) turut diperluas bagi menggalakkan transaksi digital tanpa tunai.
"ReDI dilaksanakan di semua BRR di Melaka melalui agihan baucar e-dompet bernilai RM20 untuk seorang dengan sejumlah 18,000 baucar e-dompet diedarkan untuk dinikmati oleh rakyat di negeri ini mulai 11 hingga 15 Mac," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial