KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, serta Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung butiran peranan masa depan Petros sebagai agregator gas negeri.
Dalam satu kenyataan, Petronas berkata usaha ini bertujuan untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbangkan dengan sewajarnya.
“Pertimbangan yang paling utama akan diberikan untuk memastikan kepastian dalam iklim pelaburan,” katanya ketika mengulas pertanyaan Bernama berhubung sebuah laporan berita yang menyatakan sebaliknya berhubung kemajuan kerjasama antara Petronas dan Petros.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petros dan Petronas.
Beliau berkata perbincangan itu bertujuan untuk meneroka kerjasama yang akan dijalankan oleh kedua-dua syarikat melibatkan mana-mana projek baharu dalam apa jua bidang.
Pada Februari, Anwar berkata Petronas akan memenuhi semua obligasi berkontrak domestik dan antarabangsa manakala Petros akan bertindak sebagai agregator gas Sarawak berdasarkan peraturan negeri mengenai pengagihan gas yang berkuatkuasa pada 1 Mac.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan peranan Petros sebagai agregator gas negeri, namun, ia tidak termasuk gas asli cecair.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial