WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMILIHAN PKR: NURUL IZZAH BAKAL PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN

15/03/2025 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bakal mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti, Mei ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas hasratnya untuk meraikan bakat dalam parti sebagai usaha ‘regenerasi’ atau penjanaan semula PKR selain memperkukuh parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

“Saya berharap anggota-anggota parti dapat memberikan saya peluang untuk menggalas bebanan selari dengan konsep fardu kifayah kerana sejak awal masa penubuhan parti saya masuk ke gelanggang (politik) pun berdasarkan mahu melunaskan konsep fardu kifayah, maka saya berharap dalam pemilihan kali ini pertandingan dalam semangat kekeluargaan.

“… kita mahu agar berlangsungnya semangat kekitaan dalam satu usaha di mana bila kita dapat menyatukan hati-hati dan memastikan bakat yang terbaik dapat diberikan ruang dan peluang bukan sekadar untuk menjadi calon sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Kasih Ramadan dan Moreh di Masjid Zaid bin Thabit, Desa Tun Razak di sini hari ini.

Nurul Izzah berkata beliau tidak akan mengambil mudah dan akan melakukan sedaya upaya untuk memenangi jawatan itu.

“Kita faham dalam konteks parti dan Kerajaan Perpaduan sudah tentu ada dinamik-dinamiknya yang tersendiri tapi saya fikir untuk PKR yang kalis cabaran masa hadapan dan mampu terus utuh, kita harus melakukan sedaya mungkin untuk bersama,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu direstui bapanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan ibu, Nurul Izzah berkata beliau secara prinsip mendapat keizinan mereka dan seterusnya menawarkan diri untuk proses pencalonan di peringkat cabang.

Terdahulu, Nurul Izzah mewakili isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan kepada kira-kira 200 penerima termasuk ibu tunggal dan asnaf di kawasan Parlimen itu.

Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Chan Ming Kai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan