MUAR, 15 Mac (Bernama) -- Seorang suri rumah berputih mata apabila duit simpanannya berjumlah RM412,443 lesap selepas terperdaya dengan pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata wanita berusia 58 tahun itu mendakwa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan satu pelaburan dalam talian.
Beliau berkata wanita itu telah memuat turun satu aplikasi pelaburan dan melabur RM500 pada permulaan, serta mendapat keuntungan RM67 dalam tempoh 24 jam.
"Setiap pelaburan yang dibuat dimaklumkan hasil keuntungannya oleh individu terbabit, namun mangsa kemudian diminta membuat pelaburan besar bagi mendapat keuntungan lebih banyak.
"Mangsa yang terperdaya dengan hasil keuntungan itu telah melakukan 35 transaksi pembayaran ke tujuh akaun berbeza berjumlah RM412,443, bermula 23 Jan hingga 6 Mac," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata wanita itu mula berasa curiga apabila diminta membuat pembayaran sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan yang terkumpul.
"Mangsa kemudian menyemak semula aplikasi pelaburan yang disertai dan mendapati tiada sebarang keuntungan diperoleh,” katanya.
Beliau berkata wanita itu membuat laporan polis semalam dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial